Selepas popular menerusi lagu saduran Tiara dan Suatu Masa, kini penyanyi yang memiliki suara mirip Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu P Radhi muncul dengan single Salam Hari Raya.
Lagu ciptaan komposer AR Wanz dan lirik ditulis oleh Keon menyerlahkan vokal P Radhi memiliki kesamaan dengung suara Allahyarham P Ramlee.
P Radhi yang juga penyanyi eksklusif di bawah syarikat rakaman Luncai Emas teruja menyanyikan lagu raya baharu. Ia amat dinantikan kerana sebelum ini hanya menyanyikan lagu saduran.
“Alhamdulillah, akhirnya terbit single pertama, Salam Hari Raya.
“Setiap orang pasti mempunyai kenangan Aidilfitri. Bagi saya, kisah raya setiap orang berbeza.
P Radhi teruja menyanyikan lagu raya baharu. Ia amat dinantikan kerana sebelum ini hanya menyanyikan lagu saduran.
Namun, P Radhi berkongsi, dia tersentak menyanyikan lagu ciptaan AR Wanz dan liriknya ditulis Keon yang menjentik perasaan.
“Saya akur sebenarnya Aidilfitri adalah hari kemenangan dan kebesaran untuk umat Islam.
“Aidilfitri juga dilihat sebagai cermin untuk kita menilai, apakah ada kemajuan dari segi kehidupan dan amalan sepanjang Ramadan.
“Jadi, kita perlu meraikan Aidilfitri dengan gembira, insya-Allah,” ujarnya.
Sementara itu, komposer AR Wanz atau nama sebenarnya, Mohd Ridzuan Taib berkata, idea lagu Salam Hari Raya terhasil apabila bermimpi Allahyarham P Ramlee yang sedang mengalunkan muzik sambil memetik gitar.
“Namun apabila tersedar, saya tidak berapa ingat secara keseluruhan melodi dalam mimpi. Saya hanya ingat sedikit dan terus melengkapkan melodi.
“Mungkin sudah biasa memainkan lagu-lagu arwah dalam banyak persembahan membuatkan saya bermimpi pada arwah,” katanya. – Agensi