Wednesday, July 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hasilkan makanan daripada udara

    VANTAA, FINLAND – Di sebuah kilang di Finland, ‘petani masa depan’ sedang menghasilkan protein makanan baharu dengan menyalurkan udara dan elektrik kepada mikrob, membuktikan bahawa protein boleh dihasilkan tanpa penternakan tradisional.

    Penternakan haiwan adalah salah satu punca utama pelepasan gas rumah hijau, sebab utama pemanasan global.

    Pertanian selular, di mana makanan atau nutrien dihasilkan daripada kultur sel, semakin dilihat sebagai alternatif hijau kepada penternakan haiwan.

    Daging, telur dan susu yang dihasilkan di makmal telah menjadi tajuk-tajuk utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan saintis-saintis menggunakan kultur sel haiwan – proses yang dikritik sesetengah pihak sebagai tidak semula jadi, terlalu diproses, memakan tenaga dan juga mahal.

    Namun di kilang Solar Foods yang baru dibuka di luar Helsinki, saintis-saintis menggunakan teknologi baharu untuk menghasilkan protein daripada sel dengan memanfaatkan udara dan elektrik.

    Ibu pejabat syarikat Solar Foods dilihat pada 2 Mei lalu di Vantaa, Finland. – AFP
    Seorang juruteknik bekerja di makmal di ibu pejabat syarikat Solar Foods pada 2 Mei di Vantaa, Finland. – AFP
    Dewan pengeluaran di ibu pejabat syarikat Solar Foods. – AFP
    ATAS & BAWAH : Makanan yang disediakan menggunakan protein Solein dipamerkan di ibu pejabat Solar Foods pada 2 Mei. – AFP
    Gambar AFP
    Gelas yang mengandungi protein baharu yang digelar ‘Solein’ – AFP

    Dengan memberikan karbon dioksida, hidrogen dan beberapa mineral lain kepada mikrob, dan menjanakan proses dengan elektrik daripada sumber boleh diperbaharui, syarikat itu berjaya mencipta serbuk kaya protein yang boleh digunakan sebagai pengganti susu dan telur.

    “Kami boleh mendapatkan makanan ternakan utama kami untuk mikrob daripada udara,” kata ketua eksekutif Solar Foods, Pasi Vainikka kepada AFP, ketika dia mengadakan lawatan ke kemudahan baharu syarikat itu berhampiran Helsinki.

    “Kami telah memulakan pengeluaran protein paling mampan di dunia.”

    Diasaskan oleh Vainikka dan Juha-Pekka Pitkanen pada 2017, Solar Foods melancarkan ‘kilang pertama di dunia yang menghasilkan makanan daripada udara’ pada April.

    “Kebanyakan protein haiwan hari ini sebenarnya boleh dihasilkan melalui pertanian selular dan kita boleh membiarkan tanah pertanian kembali menjadi semula jadi dan dengan itu menambah stok karbon,” kata Vainikka, merujuk kepada proses di mana hutan dan tanah menyerap dan menyimpan karbon.

    Satu kilo protein baharu itu, digelar ‘solein’, mengeluarkan 130 kali kurang gas rumah hijau daripada jumlah protein sama yang dihasilkan menerusi pengeluaran daging lembu di Kesatuan Eropah (EU), dakwa kajian saintifik 2021.

    Vainikka berjalan melalui makmal kilang itu dan masuk ke bilik kawalan, di mana lebih 10 orang melihat skrin komputer memantau proses pengeluaran.

    “Ini adalah petani masa depan kita,” kata Vainikka.

    Mengubah pengeluaran dan penggunaan makanan adalah asas dalam memerangi krisis iklim dan mencegah kehilangan biodiversiti, menurut Emilia Nordlund, ketua bioteknologi industri dan penyelidikan makanan di Pusat Penyelidikan Teknikal VTT.

    Namun unjuran semasa menunjukkan penggunaan daging dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang.

    “Pengeluaran makanan industri, terutamanya pengeluaran ternakan, adalah salah satu punca terbesar pelepasan gas rumah hijau (dan) punca terbesar kehilangan biodiversiti, eutrofikasi dan penggunaan air tawar,” katanya.

    Teknologi-teknologi pengeluaran makanan baharu boleh membantu mengurangkan pelepasan dan “desentralisasi serta mempelbagaikan pengeluaran makanan,” kata Nordlund.

    “Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita mesti menambah baik kaedah pengeluaran makanan sedia ada untuk menjadikannya lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.

    Teknologi penapaian yang digunakan untuk menghasilkan nutrien yang berbeza, seperti protein, telah wujud selama beberapa dekad.

    Tetapi bidang berkenaan telah berkembang dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan penyelesaian teknologi baharu dan projek-projek penyelidikan yang muncul di seluruh dunia.

    Beberapa hab pemula paling aktif yang memfokuskan pada pertanian selular adalah di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman, Belanda dan Israel, kata Nordlund.

    “Kita berada dalam fasa penting kerana kita akan melihat syarikat-syarikat pemula yang mana satu yang akan bertahan,” katanya, sambil menambah birokrasi yang melengahkan telah memperlahankan pengeluaran pertanian selular di EU.

    Dengan memakai pakaian pelindung untuk mengelakkan pencemaran bakteria di kilang, Vainikka menunjukkan tangki keluli gergasi di dalam dewan pengeluaran.

    “Ini adalah penapai yang memuatkan 20,000 liter,” katanya sambil menjelaskan bahawa mikrob membiak di dalam tangki apabila ia mendapat gas rumah hijau.

    Cecair yang mengandungi mikrob diekstrak secara berterusan dari tangki untuk diproses menjadi serbuk kekuningan kaya protein dengan rasa yang digambarkan sebagai ‘kacang’ dan ‘berkrim’.

    “Penapai menghasilkan jumlah protein yang sama setiap hari seperti 300 ekor lembu perah atau 50,000 ayam petelur,” kata Vainikka.

    Itu sama dengan “protein bagi lima juta hidangan setiap tahun”.

    Buat masa ini, tujuan utama kilang kecil Finland itu mengambil kira-kira 40 orang pekerja adalah untuk ‘membuktikan skala teknologi’, supaya ia boleh menarik pelaburan yang diperlukan sementara menunggu kelulusan kawal selia Eropah.

    Walaupun protein berkenaan telah diluluskan untuk dijual di Singapura di mana beberapa buah restoran telah menggunakannya untuk membuat aiskrim, ia masih menunggu klasifikasi sebagai produk makanan di EU dan AS.

    Untuk mengalami kesan sebenar, matlamatnya adalah untuk “membina loji perindustrian 100 kali ganda saiz ini,” kata Vainikka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda