DHAKA, 13 MEI – Suruhanjaya Pilihan Raya Bangladesh telah menggantung pendaftaran Parti Liga Awami, parti politik bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina yang digulingkan, sekali gus melarang penyertaannya dalam pilihan raya parlimen akan datang.
Langkah itu dibuat susulan keputusan kerajaan sementara pimpinan penerima Hadiah Nobel, Muhammad Yunus, yang pada Ahad lalu mengharamkan Liga Awami sementara menunggu keputusan perbicaraan berkaitan tindakan keras terhadap protes besar-besaran yang membawa kepada penggulingan Hasina tahun lalu.
Liga Awami merupakan parti politik tertua di Bangladesh dan pernah mengetuai perang kemerdekaan negara itu pada 1971.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sehingga 1,400 penunjuk perasaan terbunuh pada Julai-Ogos 2024 apabila kerajaan Hasina melancarkan tindakan keras terhadap pihak pembangkang.
Hasina, 77, kini hidup dalam buangan secara sukarela di India dan enggan menyerah diri kepada waran tangkap yang dikeluarkan pihak berkuasa Dhaka atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.
Setiausaha kanan Suruhanjaya Pilihan Raya Bangladesh, Akhter Ahmed, berkata penggantungan pendaftaran Liga Awami dibuat berdasarkan syor daripada kementerian dalam negeri.
“Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan semua aktiviti organisasi Liga Awami Bangladesh dan pertubuhan-pertubuhan bersekutu dengannya,” katanya kepada media lewat kelmarin.
“Sehubungan itu, suruhanjaya memutuskan untuk menggantung pendaftaran Liga Awami dengan suruhanjaya.”
Yunus, 84, sebelum ini berkata pilihan raya parlimen dijangka diadakan seawal Disember ini dan selewat-lewatnya pada Jun 2026. – AFP
