Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hasina menang pilihan raya

    DHAKA, 31 Dis – Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina hari ini diumumkan memenangi pilihan raya yang telah dicemari dengan keganasan berdarah, yang dituduh pembangkang satu ‘jenaka’ dan ‘penipuan.’

    Parti memerintah Hasina, Parti Liga Awami dan para sekutunya telah memenangi 288 buah kerusi, manakala parti pembangkang utama hanya meraih enam buah kerusi, menurut setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Helal Uddin Ahmed.

    Kerajaan Hasina telah meningkatkan tindakan ke atas pembangkang, sebuah pakatan yang diketuai oleh Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP), menggesa agar suruhanjaya pilihan raya negara membatalkan keputusan pilihan raya itu.

    “Kami menuntut pilihan raya baharu diadakan di bawah kerajaan berkecuali secepat yang mungkin,” kata Kamal Hossain, yang mengetuai gabungan itu kepada para pemberita.

    Keganasan berdarah dan persengketaan telah mencemarkan kempen pilihan raya yang berlarutan hingga hari pengundian, meskipun pihak berkuasa mengenakan kawalan keselamatan ketat bersama 600,000 orang tentera, polis dan pasukan keselamatan yang lain dikerah ke seluruh negara.

    Tiga belas orang terbunuh dalam pertempuran antara para penyokong Liga Awami dan BNP, kata polis. Manakala tiga orang lelaki telah ditembak polis yang mengatakan mereka melindungi stesen mengundi.

    Seorang anggota polis tambahan turut terbunuh disebabkan pembangkang bersenjata, menurut para pegawai.

    Hasina, 71 tahun, diberi pujian kerana memperbaiki pertumbuhan ekonomi di negara miskin Asia Selatan itu dalam tempoh sedekad berkuasa dan mengalu-alukan kedatangan warga Rohingya yang melarikan diri daripada kekerasan tentera di negara jiran, Myanmar.

    Namun para pengkritik menuduhnya berfahaman autoritarianisme dan melumpuhkan pihak pembangkang – termasuklah musuh ketatnya, Khaleda Zia selaku pemimpin BNP yang sedang menjalani hukuman penjara 17 tahun atas tuduhan rasuah. – AFP

    Reaksi Perdana Menteri Sheikh Hasina semasa berucap pada sidang media yang diadakan di Dhaka, Bangladesh, kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda