Selepas lapan bulan bercerai, penyanyi Hasnol memberitahu hatinya kembali terbuka kembali ke pangkuan bekas isteri, Marina Mohin untuk sekali lagi menjalani hidup sebagai sebuah keluarga.
Hasnol atau Hasnol Hassan Ariff, 53, berkata, mereka juga pernah berbincang mengenai hal tersebut namun menyerahkan urusan jodoh kepada takdir dan ketentuan Allah.
“Kami berjumpa dan berbincang perkara itu (kembali bersama) pada Ramadan lalu tapi biarlah masa dan takdir menentukan segalanya. Sekuat mana kita mencuba sekalipun, soal jodoh itu ditangan Allah.
“Banyak perkara perlu difikirkan terutamanya pandangan keluarga dan orang sekeliling. Saya sudah meninggalkan dia jadi bukan mudah untuk kami kembali bersama,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Hasnol memberitahu meskipun mereka sudah tiada ikatan suami isteri namun masih mengekalkan hubungan baik sebagai sahabat dan sebagai bapa dia tetap menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada anak mereka.
Kata Hasnol, buat masa ini fokusnya adalah untuk membina kembali keyakinan diri termasuk mengukuhkan pendapatan selepas kembali bekerja sebagai pengurus jualan di sebuah syarikat jual beli kereta import sejak November tahun lalu.
“Sekarang ini kami lebih selesa berkawan baik. Dia (bekas isteri) juga banyak membantu saya ketika waktu sukar.
“Cuma buat sekarang biarlah saya bangkit dari sudut ekonomi dan mental. Saya kena gagahkan diri sendiri dahulu,” ujarnaya. – Agensi
