Hasrat bantu keluarga kurang berkemampuan terlaksana

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Ghanim International Corporation Sdn Bhd (bruneihalalfoods) terus memberikan senyuman kepada keluarga kurang bernasib baik di negara ini dengan menyumbangkan pelbagai jenis perapan ayam bruneihalalfoods kepada 50 buah keluarga, baru-baru ini.

Para penerima telah dikenal pasti oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pegawai Kanan Jualan, Pemasaran dan Komunikasi, Nabilah Pehin Abas berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat, Beramal Bersama yang dihasratkan untuk membantu lebih banyak keluarga kurang berkemampuan di negara ini walaupun musim perayaan sudah berakhir.

“Selain itu, salah satu inisiatif sumbangan syarikat untuk pengunjung masjid yang berlangsung pada masa ini juga telah diterima dengan baik oleh orang ramai,” tambahnya.

Ghanim International Corporation Sdn Bhd (bruneihalalfoods) telah menyumbangkan pelbagai jenis perapan ayam kepada 50 buah keluarga, baru-baru ini. Gambar serahan Bruneihalal