Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hasrat pulang ke negara asal dengan bas curi tidak kesampaian

    SEOUL, 2 OKT – Seorang rakyat Korea Utara yang telah melarikan diri ke Korea Selatan ditahan selepas bas curi yang dipandunya terhempas berhampiran sempadan dalam usaha yang gagal untuk pulang ke tanah air terpencilnya, beritahu polis kepada AFP, hari ini.

    Suspek telah melarikan diri ke Korea Selatan pada 2011, dan cuba memasuki semula Korea Utara dengan menaiki bas yang dicuri apabila dia merempuh penghadang di jambatan di selatan zon bebas tentera (DMZ) yang dikawal ketat di antara kedua-dua Korea, menurut Polis wilayah Gyeonggi Bukbu.

    “Dia hidup dalam keadaan ekonomi yang sukar sebagai pekerja binaan dan merindui keluarganya yang masih berada di Utara,” kata seorang penyiasat kepada AFP, menjelaskan sebab-sebab lelaki itu cuba menyeberangi sempadan itu.

    Polis sedang mempertimbangkan untuk mendakwa suspek, yang berusia 30an, atas tuduhan mencuri dan melanggar undang-undang keselamatan negara, tambah penyiasat.

    Penyeberangan dari Korea Selatan ke Korea Utara jarang berlaku, di mana pembelot biasanya menuju ke Korea Selatan, selalunya melalui China selepas menyeberangi Sungai Yalu, yang memisahkannya dari Korea Utara.

    Lebih 34,000 rakyat Korea Utara telah berpaling tadah ke Korea Selatan sejak Perang Korea pada tahun 1950 hingga 1953, walaupun tidak terdapat berita tentang sesetengah orang yang cuba kembali ke negara terpencil itu.

    Bagaimanapun, seorang bekas pembelot Korea Utara yang bekerja sebagai tukang bersih pernah kembali ke Korea Utara dengan menyeberangi DMZ timur pada Januari 2022.

    Antara tahun 2012 dan 2021, 31 orang pembelot telah kembali ke Korea Utara, menurut Kementerian Penyatuan di Seoul. – AFP

    Gambar fail bertarikh 30 Julai 2024 menunjukkan bendera Korea Utara berkibar di perkampungan propaganda Gijungdong di Korea Utara. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda