Tuesday, July 2, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Hasrat ubah protein global dengan ‘beras berdaging’

    SEOUL – Di sebuah makmal kecil di Seoul, sepasukan saintis Korea Selatan menyuntik sel daging lembu kultur ke dalam setiap bijirin beras, dalam proses yang mereka harap dapat merevolusikan cara dunia makan.

    Daripada membantu mencegah kebuluran kepada memberi makan kepada angkasawan di angkasa lepas, ketua pasukan dan profesor Hong Jin-kee percaya apa yang digelar ‘beras berdaging’ baharunya boleh menjadi cara yang mesra alam dan beretika untuk orang
    ramai mendapatkan protein.

    Tiada haiwan yang dicederakan dalam penciptaan hidangan itu, yang kelihatan seperti semangkuk nasi biasa – walaupun merah jambu – tetapi ia mengeluarkan sedikit aroma mentega, hasil daripada diisi dengan otot dan kultur sel lemak daging lembu.

    Menggunakan daging kultur, “kita boleh mendapatkan protein haiwan tanpa penyembelihan ternakan,” kata Hong, dari Yonsei University, Seoul, kepada AFP.

    Syarikat-syarikat di seluruh dunia telah berusaha untuk mengkomersialkan alternatif daging, seperti daging berasaskan tumbuhan atau kultur, disebabkan isu etika sekitar industri penternakan, serta kebimbangan alam sekitar yang dikaitkan dengan pelepasan gas rumah hijau daripada penternakan haiwan.

    Profesor Hong Jin-kee semasa temu bual tentang ‘beras berdaging’ di Universiti Yonsei di Seoul. – AFP
    Gambar yang diambil pada 21 Mei 2024 menunjukkan mangkuk yang mengandungi ‘nasi berdaging’ merah jambu di Universiti Yonsei di Seoul. – AFP
    Piring petri disediakan dalam proses di mana bijirin beras disalut dengan gelatin ikan untuk membantu kelekatan sebelum bijirin disuntik dengan sel daging dan dikultur sehingga 11 hari untuk mencipta ‘beras berdaging’. – AFP
    Peti sejuk di makmal di mana ‘beras berdaging’ dihasilkan oleh profesor Hong Jin-kee. – AFP

    Hong, yang mempunyai latar belakang dalam bidang organoid dan sains bio-perubatan, memilih beras untuk penyelidikannya kerana bijirin itu sudah menjadi sumber protein utama untuk penduduk di Asia.

    Prosesnya pada masa ini boleh memakan masa: sebutir beras biasa disalut dengan gelatin ikan untuk membantu kelekatan, kemudian disuntik setiap satu dengan sel daging sebelum dikultur dalam piring petri sehingga 11 hari.

    Beras mempunyai “struktur yang sedikit berliang,” kata Hong, dan apabila sel daging lembu disuntik ke dalam beras, bijirin itu memberikan “struktur yang ideal untuk sel berkembang secara seragam dari dalam ke luar.”

    Nasi ‘berdaging’ ciptaan Hong mengandungi lapan peratus lebih protein dan tujuh peratus lebih lemak daripada beras biasa.

    Hong dan pasukannya masih mengusahakan cara untuk meningkatkan proses itu, katanya, tetapi dia berharap agar ciptaannya diluluskan sebagai makanan bantuan untuk situasi kecemasan di dua buah negara Afrika.

    “Bagi mereka yang terhad kepada… hanya sekali makan sehari, sedikit peningkatan dalam
    (kandungan protein), walaupun hanya beberapa peratus, menjadi sangat penting,” katanya.

    Korea Selatan belum lagi meluluskan mana-mana daging kultur untuk dimakan, tetapi pada 2022 ia mengumumkan rancangan untuk melabur berjuta-juta dolar ke dalam dana ‘teknologi makanan’, sambil mengenal pasti secara berasingan daging kultur sel sebagai bidang penyelidikan keutamaan.

    Daging kultur dijual di Singapura dan Amerika Syarikat (AS), tetapi Itali mengharamkannya tahun lepas memetik keperluan untuk melindungi industri ternakannya.

    Sesetengah sarjana menekankan potensi kebimbangan etika dengan daging kultur termasuk penyumberan sel haiwan awal.

    Sukar untuk “pasti tentang keselamatan serum yang digunakan dalam media kultur, dan antibiotik serta hormon yang ditambah semasa proses kultur,” Choi Yoon-jae, bekas profesor emeritus di Universiti Kebangsaan Seoul, menulis dalam kolum di laman web Chuksan News.

    Menurut pasukan Hong, kaedah beras hibrid mereka dengan ketara mengurangkan jejak karbon protein dengan menghapuskan keperluan untuk menternak haiwan.

    Bagi setiap 100 gram (g) protein yang dihasilkan, ia melepaskan 6.27 kilogram (kg) karbon dioksida, dia mengganggarkan – lapan kali kurang daripada pengeluaran daging lembu tradisional.

    Daging kultur telah lama “dibentangkan sebagai penyelesaian iklim berbanding ternakan tradisional,” kata Neil Stephens, pensyarah teknologi dan masyarakat di University of Birmingham.

    Namun sektor itu menghadapi cabaran-cabaran seperti perlu “dihasilkan pada jumlah besar dan berskala, serta murah, dengan keperluan tenaga yang rendah dan input mesra alam,” katanya kepada AFP.

    “Beras ‘berdaging’ mungkin mempunyai kelebihan berbanding beberapa produk daging kultur lain”, kerana ia adalah produk hibrid “mencampurkan sel haiwan dengan bahan tumbuhan (beras) menjadikannya lebih murah dan kurang intensif tenaga,” katanya.

    “Namun begitu, ia masih perlu membuktikan kelayakan alam sekitar pada skala besar, dan meyakinkan orang ramai untuk memakannya. Kedua-duanya mungkin menjadi satu cabaran.”

    Perundingan global AT Kearney telah meramalkan bahawa menjelang 2040, hanya 40 peratus daripada pengambilan daging global akan datang daripada sumber konvensional, dan keseluruhan industri itu akan diterbalikkan.

    “Produk-produk seperti susu, putih telur, gelatin dan ikan boleh dicipta dengan teknologi yang sama,” katanya dalam laporan 2019.

    Hong sangat percaya bahawa bioteknologi boleh mengubah cara manusia mengambil makanan menjadi lebih baik.

    Sebagai contoh, katanya, orang lebih tua yang mengalami sarcopenia – kehilangan otot – boleh makan daging yang dihasilkan di makmal dengan sel otot, bukan lemak, untuk membantu meringankan masalah khusus mereka.

    Dunia berada di puncak era di mana “lebih banyak maklumat biologi tersedia dan kita perlu mengawal makanan kita dengan teliti,” katanya.

    Ini boleh bermakna, katanya, dapur yang dilengkapkan AI pada masa hadapan boleh menilai kesihatan seseorang melalui analisis darah, kemudian mengarahkan robot untuk menyediakan sarapan yang paling sesuai. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jangka hayat Australia menurun buat kali pertama

    CANBERRA, 2 JULAI - Jangka hayat Australia turun buat kali pertama dalam hampir 30 tahun semasa pandemik COVID-19, dedah satu laporan kerajaan. Institut Kesihatan dan...