Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hati Cakra Khan tertinggal di KL

    “Terima kasih atas sokongan hebat semua yang diberikan setiap kali saya buat persembahan di Malaysia.”

    Begitu penghargaan diungkap penyanyi Indonesia, Cakra Khan kepada peminat di Malaysia yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepadanya.

    Sekali lagi bertandang, Cakra menjayakan konsert solo, Cakra Khan Divine Live In Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, baru-baru ini.

    Akui penyanyi bersuara ‘seksi’ itu, peluang mementaskan konsert solo di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut, dianggap sebagai kenangan bermakna dalam catatan karier seninya.

    Cakra yang memilih untuk berehat bagi memberi tumpuan terhadap penghasilan karya baharu selepas berakhir konsert anjuran Shiraz Projects itu, gagal menahan rasa sedih.

    Cakra mengumumkan dirinya mahu berehat daripada menjayakan konsert di Malaysia buat seketika untuk memberi tumpuan dalam penghasilan karya baharu. – kuyou

    Apa tidaknya, Cakra mengakui setiap kali bertandang ke Malaysia, dia pasti menerima sokongan padu dan tidak berbelah bahagi daripada peminat tempatan biarpun agak kerap mementaskan konsert.

    Justeru, sebelum tempoh rehat itu bermula, Cakra dilihat memberi sepenuh jiwa dalam konsert solo Cakra Khan Divine Live In Concert dengan susun atur muzik segar dan konsep persembahan memukau supaya dapat terus dikenang peminat.

    Tampil dengan 12 pemuzik pengiring yang merangkumi pemain biola, trompet, keyboard, dram dan gitar persembahan Cakra kali ini memberi dimensi baharu apabila segala-galanya menyatu dengan sempurna.

    Muzik yang digubah semula dengan susun atur lebih segar serta dipadukan dengan suara lunak Cakra menjadikan persembahan kali ini sangat membekas di hati peminat, lantas memberi satu pengalaman cukup berharga.

    Membuka tirai persembahan dengan tiga lagu, iaitu Setelah Kau Tiada, Persinggahanmu dan Mencari Cinta Sejati, Cakra berjaya ‘memancing’ emosi peminat untuk turut serta dalam perayaan emosi pada persembahan itu.

    Ternyata vokal serak dimiliki Cakra yang dipadukan dengan sistem bunyi berkualiti Dewan Plenari dan iringan pemuzik profesional menjadi hadiah bermakna ditinggalkan penyanyi itu sebelum mengambil keputusan untuk berehat.

    Penyanyi yang pernah membuat penampilan di pentas uji bakat America’s Got Talent (AGT) 2023 ini juga tidak membiarkan suasana konsert hening apabila sering berinteraksi dan bergurau-senda dengan peminat di setiap ruang persembahan.

    Sikap mesra dan ramah sering ditonjolkan Cakra membuatkan kehadirannya begitu disenangi peminat Malaysia, sekali gus menjadi faktor mengapa konsert dianjurkan sentiasa penuh. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda