Saturday, September 28, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hati-hati berita rekaan AI palsu, mengelirukan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan berita yang direka menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) di mana ia boleh menghasilkan teks, imej dan video yang mungkin kelihatan sah tetapi sebenarnya palsu atau mengelirukan.

    Amaran itu dikeluarkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, berikutan berita palsu yang direka menggunakan AI yang menyalahgunakan nama serta logo BDCB, baru-baru ini.

    BDCB menyatakan bahawa berita-berita palsu seperti itu sering dikongsi di media sosial dengan menggunakan tajuk-tajuk umpan klik (clickbait) untuk menarik perhatian pembaca dan memperdaya mereka untuk memberikan maklumat peribadi atau kewangan.

    Mereka juga sering mempromosikan produk/perkhidmatan kewangan tidak berlesen atau menipu orang ramai untuk memuat turun aplikasi yang mengandungi virus para peranti mereka.

    Sehubungan dengan itu, BDCB menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan mengesahkan sumber maklumat iaitu jangan mempercayai maklumat yang dikongsi dalam media sosial tanpa soal siasat dan sentiasa sahkan kesahihan laman sesawang atau berita sebelum mengongsikannya dengan ahli keluarga serta rakan.

    Maklumat yang sahih mengenai BDCB boleh didapatkan di laman sesawang dan akaun media sosial rasmi BDCB. BDCB sering menerbitkan siaran akhbar dan bahan-bahan penerbitan lain melalui platform berkenaan dan sekiranya terdapat keraguan, sila rujuk saluran rasmi atau menghubungi talian rasmi BDCB.

    Orang dinasihatkan untuk berwaspada terhadap dakwaan sensasi iaitu berhati-hati dengan berita yang dibesar-besarkan atau kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan (too good to be true) terutamanya jika ia melibatkan unsur penipuan kewangan seperti menggunakan nama-nama orang terkenal atau mempromosikan pulangan yang tinggi dalam masa yang pendek.

    Mereka juga dinasihatkan untuk mengelakkan entiti yang tidak berlesen iaitu hanya berurusan dengan entiti yang dikawal selia oleh BDCB. Jika mereka berurusan dengan entiti tidak berlesen atau tidak dikawal selia, mereka tidak akan dilindungi di bawah rangka kerja pengawalseliaan BDCB.

    Peraturan itu bertujuan untuk melindungi orang ramai sebagai pengguna kewangan dengan memastikan hanya entiti yang berkelayakan dan berlesen boleh menyediakan perkhidmatan kewangan.

    Orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan maklumat peribadi mereka dengan selamat serta jangan sekali-kali berkongsi maklumat peribadi dan/atau maklumat kewangan dengan orang lain termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan.

    Mereka juga dinasihatkan untuk melapor aktiviti kewangan yang mencurigakan iaitu melaporkan sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan kepada Isu Pengguna Kewangan BDCB di talian 2380007 / 8380007 atau e-mel, fci@bdcb.gov.bn.

    Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di media sosial kepada perkhidmatan media sosial seperti Facebook atau Meta dan kepada Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT)melalui talian ‘hotline’ di 2458001, e-mel, reporting@brucert.org.bn atau WhatsApp 7170766.

    BDCB juga ingin menekankan bahawa menyalahgunakan nama atau logonya, atau menggunakan nama atau logonya tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 74A Perintah BDCB, 2010 di mana kesalahan itu membawa hukuman denda tidak melebihi $20,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

    BDCB menyatakan bahawa ia adalah komited untuk mengekalkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam di samping melindungi sistem kewangan dan pengguna kewangan di negara ini. 

    BDCB juga akan terus memantau secara aktif sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan senarai institusi-institusikewangan dibawah BDCB serta BDCB Alert List, mereka boleh melayari laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn.

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda