Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hati-hati ketika hujan, banjir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Brunei pada masa ini berada dalam fasa peralihan monsun, yang lazimnya akan berterusan sehingga November.

    Pada jam 5 pagi waktu tempatan hari ini, Ribut Tropika Fengshen dikesan di koordinat 13.9 oN 122.6 oE, di kawasan Lautan Pasifik Barat sekitar 1,500km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Ribut Tropika Fengshen diramalkan bergerak ke arah barat laut dan menjauhi negara.

    Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Ribut Tropika Fengshen dijangka secara tidak langsung mempengaruhi keadaan cuaca negara.

    Hujan atau hujan berpetir, kadang-kala lebat dan berangin kencang dijangka berlaku sekali-sekala terutama di kawasan laut dan pesisiran negara. Kelajuan angin sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.

    Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras antara 0.5m dan 1.0m dan boleh meningkat buat sementara waktu ke paras sederhana sehingga 2.0m semasa hujan berangin kencang.

    GAMBAR SERAHAN BDMD

    Sehubungan itu, orang ramai, termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya mengambil langkah sewajarnya demi keselamatan semua semasa keadaan cuaca aktif.

    Risiko kejadian pokok tumbang, atap terbang dan tanah susur semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang. Risiko banjir kilat terutamanya di kawasan rendah dan mudah banjir serta kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Keadaan laut di paras sederhana adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil semasa keadaan hujan berangin kencang.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX, atau boleh hubungi peramal cuaca di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau layari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram dan WhatsApp Brunei Weather.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda