Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Beberapa individu telah didapati menyamar kononnya mempunyai kaitan dengan pihak Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan menyalahgunakan nama serta logo BDCB dalam menjalankan transaksi perniagaan pembelian mata wang lama.
Sehubungan itu, pihak BDCB menekankan sesiapa yang menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB tanpa kebenaran bertulis atau menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB yang serupa mahupun menyerupai BDCB yang bertujuan untuk memperdaya, menipu dan menyebabkan kekeliruan adalah satu kesalahan di bawah Bab 74A Perintah BDCB, 2010.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
BDCB menasihatkan orang ramai untuk berwaspada apabila menerima mana-mana mesej memohon pembayaran atau butiran peribadi, yang seolah-olahnya datang daripada BDCB dengan menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB.
Jika menerima mesej dari BDCB yang disyaki palsu, orang ramai boleh menghubungi BDCB melalui talian, 8318388 atau e-mel, info@bdcb.gov.bn.