Wednesday, November 27, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hati-hati scammer pembelian duit lama

    Oleh Nurdiyanah R. –
     
    Sebagai pembaca Media Permata pernah mendapat komen-komen di beberapa platform dalam talian seperti Facebook dan Instagram, kononnya seseorang berasal luar negara ingin membeli wang nota mahupun syiling lama awda dengan harga yang lumayan. 
     
    Hati-hati, jangan terpedaya!  Mungkin itu merupakan salah satu taktik penipuan yang berlaku di alam siber iaitu penipuan pembelian wang lama atau lebih dikenali sebagai old money scam.
     
    Bayangkan seseorang mendakwa mengalami kerugian sehingga mencecah ribuan ringgit selepas terpedaya dengan tawaran pembelian duit syiling lama oleh individu yang tidak dikenali. Bagaimana itu boleh terjadi? 
     
    Hakikatnya, seiring berkembangnya teknologi, penipu-penipu atau disebut sebagai scammer juga dilihat semakin licik mengambil kesempatan daripada keghairahan mereka bagi membuat penipuan.
     
    Itulah antara nasihat yang ditekankan oleh Cyber Security Brunei (CSB) terutama kepada para pengguna pelbagai platform media sosial ketika berkesempatan berkongsi maklumat bersama penulis.
     
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    PURA-PURA MINAT 
     
    Mengimbas kembali perkongsian CSB kepada penulis, menjelaskan bahawa penipuan pembelian wang lama terjadi apabila si penipu berhajat menawarkan harga yang tinggi atau berpura-pura berminat bagi membeli nota atau syiling lama daripada si mangsa (penjual wang nota atau syiling lama). Namun sebenarnya si penipu akan memanipulasi mangsa untuk membayar wang kepadanya.
     
    Modus operandi terjadi apabila si penipu memanipulasi untuk membayar wang kepada mereka, misalnya mereka akan menawarkan tawaran yang tinggi bagi membeli nota atau syiling lama dengan alasan hobi atau minat. Kemudian penjual atau mangsa akan bersetuju dengan harga yang ditawarkan dan memerlukan penjual bagi menghantar barang tersebut. 
     
    CSB mengongsikan lagi, kebiasaannya selang beberapa hari atau minggu, si penipu akan menghubungi mangsa bagi memberitahu bahawa akan ada bayaran atau cukai yang dikenakan bagi membuat pembayaran pemindahan wang dan memerlukan mangsa bagi menampung kos tersebut. 
     
    BAGAIMANA PENIPUAN TERJADI?
     
    Dalam pada itu, CSB turut mengemukakan gambaran lebih lanjut bagaimana penipuan dalam talian pembelian wang lama itu boleh terjadi apabila si penipu mula mengorak langkahnya setelah berjaya memancing keyakinan si mangsa dengan harga yang dipersetujui. 
     
    Jika si mangsa melayan, si penipu akan menawarkan harga yang tinggi bagi membeli nota atau syiling lama si mangsa. Kebiasaannya si penipu akan menawarkan 10 kali ganda daripada nilai yang sebenar. Alasan mereka duit lama itu akan dijual kepada muzium, pengumpul atau bank dunia bagi mendapatkan harga yang lebih mahal dan sebagainya. Sebagai contoh, adanya posting yang berkaitan dengan penipuan itu di mana wang syiling Bank Negara Malaysia tahun 1980 bernilai 10 sen ditawarkan sebanyak RM40,000.
     
    Lazimnya, selepas persetujuan antara kedua-dua belah pihak berlaku, si penipu akan meminta nombor akaun si mangsa dan kemudiannya akan berjanji untuk membayar menggunakan bank transfer atau telegraphic transfer kepada si mangsa. Namun mereka akan memberikan alasan bahawa bayaran tersebut tersekat kerana nilai pemindahan itu terlalu besar dan memerlukan untuk membayar cukai atau saman.
     
    Sehari atau dua hari kemudian, seseorang akan menghubungi si mangsa mengatakan ada masalah dengan pemindahan wang yang mana besar kemungkinan yang menghubungi si mangsa adalah daripada kalangan rakan si penjenayah berkenaan yang menyamar sebagai pihak berkuasa bagi menakutkan si mangsa agar membayar cukai atau saman tersebut. Si mangsa juga mungkin akan menerima e-mel yang mengatakan duit telah dihantar tetapi si mangsa perlu membayar sejumlah wang bayaran terlebih dahulu bagi melepaskan duit itu ke akaun mereka.
     
    Apabila si mangsa sudah membayar ke akaun si penjenayah, maka bermulalah episod ‘wang pampasan’ yang seakan-akan tidak pernah cukup sehingga sering kali berlaku juga si penipu bersama rakan-rakan yang menyamar itu akan sentiasa menghubungi si mangsa memberikan pelbagai alasan bagi memuaskan nafsu mereka agar mendapat wang lebih banyak.
     
    JANGAN SAMPAI TERPEDAYA!
     
    Dalam meniti perkembangan aplikasi teknologi maya, CSB turut menyarankan semua lapisan masyarakat untuk sentiasa berwaspada dari semasa ke semasa agar tidak menjadi mangsa penipuan sedemikian.
     
    Ingatlah, sesiapa sahaja boleh berpura-pura menjadi orang lain dalam talian. Jangan sesekali membuka lampiran daripada orang yang tidak dikenali. Hal itu kerana penjenayah siber akan menggunakan pelbagai cara bagi mencari mangsa di dunia siber. Salah satunya adalah menggunakan teknik malware dari lampiran e-mel dan sebagainya.
     
    Lebih dari itu, jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan. Kalau kita perhatikan, beberapa tawaran yang menawarkan promosi too good to be true mencari mangsa supaya terpedaya dengan tipu helah mereka. Pastikan juga jangan berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali di media sosial terutama jika situasi tersebut berkaitan dengan penipuan.
     
    Sehubungan itu, pihak CSB mengingatkan orang ramai akan nombor telefon yang sering digunakan bermula dengan 234 daripada Nigeria; 230 dari Mauritius; 960 dari Maldives; 44 dari Britain dan sebagainya.  
     
    Namun apabila perkara itu terjadi, maka seseorang mangsa perlulah menyimpan tangkapan skrin dan surat-menyurat seperti resit dan penyata bank bagi tujuan bukti dan laporkan kepada pihak polis. Laporkan akaun si penjenayah kepada media sosial yang telah digunakan dan sekat akaun si penipu serta hentikan semua komunikasi dengan segera. Jika awda pernah membayar sebarang jumlah wang kepadanya laporkan kepada pihak bank ataupun syarikat kiriman wang, seboleh-bolehnya 24 jam daripada pembayaran dilakukan.
     
    Oleh yang demikian, pelbagai kes membabitkan penipuan atau disebut sebagai scammer bukan perkara baharu didengar namun segalanya menjadi tanggungjawab seseorang pengguna menerusi pelbagai aplikasi media sosial bagi sentiasa peka agar tidak terjebak dengan mereka yang tidak bertanggungjawab.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda