LONDON, 5 APRIL – Cole Palmer menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk melengkapkan hatrik dan kemenangan bangkit semula 4-3 yang menakjubkan untuk Chelsea menentang Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris, semalam.
United menuju kemenangan dramatik di Stamford Bridge selepas bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mendahului 3-2.
Tetapi Palmer memastikan mata dimenangi Chelsea selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-110 dan kemudian merembat gol kemenangan dengan usaha melencong dari luar kotak seminit kemudian.
“Ia sepatutnya menjadi titik perubahan untuk kepercayaan penyokong terhadap pasukan,” kata pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino.
Kekalahan liga ke-12 musim ini dan berkemungkinan akan menambah tekanan kepada pengurus Erik ten Hag menjelang perlawanan Ahad menentang Liverpool yang mengejar gelaran.
“Kita perlu belajar daripadanya. Apabila anda adalah pemain Manchester United, anda sepatutnya sudah tahu bagaimana untuk menangani keadaan ini,” kata Ten Hag.
Chelsea mendahului 2-0 menerusi usaha Conor Gallagher dari dalam kotak penalti pada minit keempat dan penalti Palmer pada minit ke-19.
Tetapi United bertindak balas dengan memberangsangkan dengan Alejandro Garnacho mengambil alih kesilapan Moises Caicedo untuk menjaringkan gol pada minit ke-34.
Bruno Fernandes menyamakan kedudukan apabila beliau menanduk masuk hantaran lintang Diogo Dalot lima minit kemudian.
United mendahului pada minit ke-67 menerusi Garnacho, yang menanduk melepasi Djordje Petrovic selepas hantaran lintang indah Antony.
United kelihatan selesa dengan masa yang suntuk sehingga Dalot menggugurkan Noni Madueke di dalam kotak dan Palmer mencetuskan drama lewat.
“Ia adalah penggalak momentum yang besar. Ia meletakkan semua orang dalam mood yang baik. Mudah-mudahan kami dapat meneruskan,” kata Palmer. – AP


