MANCHESTER, 25 OGOS – Pep Guardiola berkata kadar jaringan Erling Haaland untuk Manchester City adalah ‘tidak masuk akal’ selepas pemain Norway itu meledak hatrik ke-10 dalam 101 penampilan untuk kelab itu dalam kemenangan 4-1 ke atas Ipswich, semalam.
Ipswich yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris, mempunyai permulaan yang menggaumkan di Etihad dengan gol yang dijaringkan oleh Szmodics, tetapi situasi berubah ketika City meledak tiga gol dalam masa empat minit menerusi Haaland dan Kevin De Bruyne.
Haaland kemudian merembat masuk dari luar kotak penalti di hujung perlawanan untuk membawa jumlah jaringan sejak menyertai City lebih kurang dua tahun lalu dengan 94 gol dalam 96 perlawanan.
Guardiola berkata angka tersebut meletakkan bekas penyerang RB Salzburg dan Borussia Dortmund itu setaraf dengan pemain seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
“Dia melakukannya di Salzburg. Dia melakukannya di Jerman. Jumlahnya tidak masuk akal,” kata Guardiola pada sidang media selepas perlawanan.
“Dia boleh bersaing dari segi gol dengan Ronaldo dan Messi.
“Angkanya luar biasa untuk usianya. Dia adalah ancaman yang luar biasa untuk kami dan kami sangat gembira memilikinya.
“Mudah-mudahan dia boleh berada di sini selama bertahun-tahun. Ia sangat baik untuk kami.”
Kemenangan itu membawa City ke tangga teratas dengan enam mata maksimum daripada dua aksi pembukaan dalam misi mempertahankan gelaran mereka. – AFP