VIGO, 10 NOV – Robert Lewandowski menjaringkan hatrik untuk membantu Barcelona menewaskan Celta Vigo 4-2 kelmarin dalam La Liga sekali gus merapatkan jurang dengan Real Madrid kepada tiga mata.
Hatrik penyerang veteran dari Poland itu membantu pasukan Hansi Flick memanfaatkan keputusan seri 0-0 Madrid sebelum ini di Rayo Vallecano.
Pemain remaja Lamine Yamal turut menjaringkan gol untuk Barca dalam satu lagi perlawanan yang mendebarkan hasil pendekatan menyerang dari juara bertahan itu, serta Marcus Rashford turut membantu hasilkan dua lagi gol.
Flick menegaskan Barcelona tidak akan mengubah gaya mereka walaupun terdapat beberapa masalah baru-baru ini, termasuk keputusan seri 3-3 dengan Club Brugge dalam Liga Juara-Juara Rabu lalu, dan ia membawa kepada separuh masa pertama yang sengit.
Juara bertahan itu mendahului menerusi penalti Lewandowski pada minit ke-10 selepas Marcos Alonso tersentuh rembatan Fermin Lopez, tetapi Celta menyamakan kedudukan seminit kemudian.
The Galicias memanfaatkan barisan pertahanan tinggi Barcelona apabila Sergio Carreira berlari ke belakang dan dia terus mengasak menewaskan Wojciech Szczesny.
Mengimbas kembali prestasi terbaiknya, Lewandowski menjaringkan gol kedua daripada hantaran lintang Rashford untuk meletakkan Barca kembali di hadapan pada minit ke-37.
Celta pantas membalas semula melalui Borja Iglesias, yang merembat bola melepasi Szczesny dan masuk ke dalam gawang dari tepi kotak penalti dua minit sebelum rehat.
Walau bagaimanapun, Barca mendahului apabila hantaran lintang Rashford yang melantun dan jatuh menemui bintang remaja Yamal, yang terus merembat tewaskan Radu di tiang dekatnya.
Selepas rehat, Lewandowski melengkapkan hatriknya dengan tandukan dari sudut Rashford selepas 73 minit untuk memberikan pasukannya kelebihan dua gol.
Ia merupakan gol liga ketujuh penyerang itu musim ini dalam hanya empat penampilan, menunjukkan kualiti penyudahnya belum berkurangan pada usia 37 tahun walaupun permulaan musim yang dilanda kecederaan. – AFP


