LONDON, 12 DIS – Bukayo Saka membimbing Arsenal raih kemenangan dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi tetapi sedikit kesal apabila selepas dinafikan hatrik pertamanya oleh salah seorang rakan sepasukannya.
Pemain sayap England itu telah menjaring dua gol mengatasi Monaco di Stadium Emirates ketika merembat ke arah gol pada minit ke-88. Namun, percubaan itu mungkin diselamatkan oleh penjaga gol, tetapi ia melantun selepas terkena betis Kai Havertz ke dalam jaring menjadikan kemenangan 3-0 untuk Arsenal.
“Dia menghalangnya,” kata Saka tentang Havertz sambil ketawa, “tetapi jangan risau, ia (hatrik saya) akan datang. Ia sedang dalam perjalanan.”
Namun dengan tiga sumbangan gol, Saka sekali lagi membimbing Arsenal dan pengurus Mikel Arteta berkata pemain berusia 23 tahun itu dalam perjalanan untuk mencapai taraf dunia.
“Awda perlu konsisten bertahun-tahun untuk meletakkan diri awda dalam kedudukan itu,” kata Arteta. “Kami boleh lihat apa yang dia lakukan dalam enam tahun pertama kariernya yang luar biasa dan itulah matlamatnya untuk terus meningkat. Dia mempunyai rakan-rakan dan persekitaran untuk terus maju dan saya yakin dia boleh.”
Di tengah-tengah masalah kecederaan di bahagian pertahanan, Myles Lewis-Skelly yang berusia 18 tahun telah diberikan penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara apabila bermain di bek kiri, sebagaimana dia tampil beberapa kali sebagai pemain gantian dalam Liga Perdana musim ini.
Lewis-Skelly berkata dia mengambil inspirasi daripada Saka yang juga dari akademi Arsenal ketika remaja.
“Melihat Bukayo, dia mempunyai pemikiran dan dia mempunyai segala-galanya,” katanya. “Saya telah belajar banyak daripadanya dan saya mahu terus belajar.”
Arsenal kini di tempat ketiga dalam 36 pasukan yang bertanding dalam kejuaraan itu. – AP