Friday, October 25, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hatrik Raphinha bantu Barca benam Bayern

    PARIS, 24 OKT – Raphinha mencetak hatrik untuk membantu Barcelona menewaskan Bayern Munich 4-1 dalam aksi Liga Juara-juara awal pagi tadi, manakala Liverpool mengekalkan rekod cemerlang dengan kemenangan tipis 1-0 di RB Leipzig manakala Erling Haaland mempamerkan aksi menakjubkan sekali lagi untuk Manchester City.

    Dalam pertembungan yang menemukan Barcelona, juara lima kali, dengan Bayern, juara enam kali, pasukan tuan rumah menjadi tumpuan menerusi tiga gol daripada penyerang Brazil, Raphinha, serta jaringan daripada Robert Lewandowski.

    Harry Kane menyamakan kedudukan selepas gol pembukaan Barca pada minit pertama untuk menjaringkan gol kelimanya dalam kempen kali ini, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa ketika pasukannya mengalami kekalahan kedua dalam tiga perlawanan Liga Juara-juara.

    “Pada pandangan saya, perlawanan ini boleh dianggap seperti perlawanan akhir (Liga Juara-juara). Untuk menang dengan cara sebegini di depan penyokong kami terasa amat istimewa, dan saya keluar dari sini dengan rasa gembira,” kata Raphinha kepada Movistar.

    eputusan itu menyaksikan Bayern Munich berada di tangga bawah carta liga, manakala Barcelona kini mencatat dua kemenangan dan menduduki tangga ke-10.

    Raphinha membuka jaringan untuk Barca di Stadium Olimpik dalam masa 60 saat, menjaringkan gol selepas melepasi penjaga gol Manuel Neuer.

    Kane menyamakan kedudukan pada minit ke-18 dengan voli akrobatik daripada hantaran Serge Gnabry.

    Bekas pemain Bayern, Lewandowski, mengembalikan pendahuluan Barca pada minit ke-36, dengan memanfaatkan bola yang terlepas selepas Fermin Lopez menyelinap di belakang pertahanan pasukan lawan.

    Raphinha menjaringkan gol keduanya tepat sebelum wisel separuh masa pertama dengan satu sepakan melengkung dari sebelah kanan. – AFP

    Aksi Raphinha semasa perlawanan di Estadi Olimpic Lluis Companys di Barcelona, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda