Hatrik Rashford julang United belasah Leipzig

MANCHESTER, 29 OKT – Marcus Rashford menjaringkan hatrik pada separuh masa kedua ketika Manchester United membelasah pendahulu liga Jerman, RB Leipzig 5-0 sekaligus menduduki tangga teratas dalam kumpulan saingan Liga Juara-Juara.

Mason Greenwood meletakkan tuan rumah di depan menerusi rembatan pada separuh masa pertama tetapi Rashford yang diturunkan sebagai pemain gantian mempamerkan aksi cemerlang di Stadium Old Trafford.

Rashford muncul pemain kedua United yang masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan hatrik selepas Ole Gunnar Solskjaer melakukannya ketika menentang Nottingham Forest pada 1999.

United yang bermula kurang menyakinkan pada permulaan musim kini mempunyai enam mata selepas berada di puncak kumpulan selepas dua perlawanan Liga Juara-Juara.

Agak mengejutkan apabila Rashford dan Bruno Fernandes diletakkan di bangku simpanan dalam misi United mencari kemenangan pertama di tempat sendiri musim ini.

Penyerang Manchester United, Marcus Rashford ketika menjaringkan gol kedua pasukannya melepasi penjaga gol RB Leipzig, Peter Gulacsi semasa perlawanan kumpulan H Liga Juara-Juara UEFA antara Manchester United dan RB Leipzig di Stadium Old Trafford semalam. – AFP

Mereka mendahului pada babak pertama apabila Greenwood, 19, yang menerima hantaran Paul Pogba menjaringkan gol ke sudut kiri gawang melepasi penjaga gol, Peter Gulacsi untuk jaringan pertamanya dalam kempen Liga Juara-Juara.

Pasukan tuan rumah diasak hebat oleh pasukan kendalian Julian Nagelsmann tetapi pemain gantian, Rashford menjaringkan tiga gol selepas diturunkan pada minit ke-63 untuk memberikan kemenangan selesa.

Anthony Martial turut menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti semalam buat juara Eropah tiga kali itu yang kini mendahului tiga mata di Kumpulan H.

“Saya rasa pengurus mahu saya meningkatkan rentak permainan,’’ kata Rashford.

“Ia bermakna kami perlu menyerang, dan terdapat ruang di sana. Kami ada Bruno dan Paul Pogba hebat dalam mengawal bola. Kami tampak garang dan mampu menjaringkan gol setiap kali menyerang.

“Ia benar-benar prestasi berpasukan. Semua beraksi dengan baik sama ada kesebelasan utama mahupun pemain gantian dan perancangan kami berjaya.’’ – AFP