VALENCIA, 7 FEB – Ferran Torres menjaringkan hatrik apabila Barcelona membelasah Valencia 5-0 semalam untuk mara ke separuh akhir Copa del Rey.
Fermin Lopez dan Lamine Yamal turut mencetak gol untuk juara Piala Sepanyol 31 kali itu ketika mereka mencatatkan kemenangan di stadium Mestalla.
Terdahulu, Real Sociedad mara dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas Osasuna yang bermain dengan 10 pemain, menyertai Real Madrid dan Atletico Madrid dalam kelompok empat terbaik.
Bekas penyerang Valencia, Torres, meraih pujian dengan hatriknya dalam masa 30 minit, memanfaatkan sepenuhnya keputusan pengurus Barca, Hansi Flick, untuk merehatkan penyerang Robert Lewandowski.
“Kami fikir ini akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, kerana di sini di Mestalla selalu sukar untuk bermain,” kata Torres kepada TVE.
“Kami bernasib baik kerana menjaringkan gol awal dan akhirnya itu meruntuhkan semangat mereka.”
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut bagi Valencia di tangan Barcelona dalam tempoh dua minggu, selepas kelab Catalan itu melakar kemenangan 7-1 di laman sendiri dalam saingan La Liga. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P22-3-AFP-web_08022025.jpg)