MADRID, 10 NOV – Vinicius Junior menjaringkan hatrik untuk membantu Real Madrid bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut di tempat sendiri dengan kemenangan 4-0 ke atas Osasuna dalam La Liga kelmarin, tetapi pemain pertahanan, Eder Militao mengalami kecederaan lutut yang serius.
Selepas dimalukan oleh Barcelona dalam El Clasico dan kemudian dikalahkan oleh AC Milan dalam Liga Juara-Juara, pasukan Madrid di bawah kendalian Carlo Ancelotti sangat memerlukan kemenangan untuk merangsang keyakinan di Santiago Bernabeu.
Juara Sepanyol dan Eropah itu membelasah Osasuna hasil jaringan hatrik Vinicius, manakala Jude Bellingham menjaringkan gol pertamanya musim ini untuk Los Blancos.
Bagaimanapun, penyerang superstar Madrid, Kylian Mbappe sekali lagi gagal menjaringkan gol dan hanya meledak satu gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya.
Pertahanan tengah Brazil, Militao, mengalami kecederaan pada ligamen lutut kanannya dan dijangka terlepas baki musim ini, manakala Rodrygo dan Lucas Vazquez turut mengalami kecederaan.
“Agak teruk melihat kecederaan ini, terutamanya Militao,” kata Bellingham, mengenai rakan sepasukannya yang terlepas sebahagian besar musim lalu akibat kecederaan yang sama pada lutut kirinya.
“Dia telah berusaha keras untuk kembali dan berada di sini bersama kami, ia amat menyedihkan.” – AFP