Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hattan jalani rawatan jantung

    Penyanyi lagu Biso Bonar, Datuk Hattan, 56, berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan berikutan injap jantung tersumbat di sebuah pusat perubatan di ibu kota, baru-baru ini.

    Memuat naik status menerusi laman Facebook, Hattan memaklumkan dirinya berada dalam terkawal selepas tiga hari menerima rawatan.

    Isterinya, Datin Arianie Mohd Abidin mengesahkan, keadaan kesihatan suaminya stabil dan tidak membimbangkan.

    “Alhamdulillah, suami sudah boleh pulang ke rumah selepas tiga hari mendapat rawatan. Keadaannya juga semakin baik.

    “Mengikut laporan pemeriksaan, suami berdepan dengan injap jantung yang tersumbat. Dengan izin-Nya, Insya Allah boleh sembuh dengan makan ubat yang disyorkan dan tak perlu membuat ujian angiogram.

    Hattan berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan berikutan injap jantung tersumbat. – Agensi

    “Tahap kolestrol tinggi, jadi kena dipantau dan dijaga. Bagus juga timbul kesedaran nak terus buat pemeriksaan lanjut apabila rasa tak kena pada peringkat awal,” katanya kepada media.

    Arianie berkata, suaminya mengadu sakit dada, sejak beberapa hari lalu.

    “Suami rasa sakit pada bahagian dada dan tangan kebas. Tanpa membuang masa, saya terus membawanya mendapatkan rawatan.

    “Secara kebetulan, dalam sejarah keluarganya ada yang sakit jantung. Jadi, tak mustahil penyakit yang sama boleh kena padanya,” katanya.

    Katanya, dia kini juga umpama jururawat tidak bertauliah memantau pemakanan dan kesihatan suami.

    “Makanan berminyak yang berkolestrol tinggi tak boleh dimakan dalam kuantiti yang banyak. Saya kena pastikan suami makan pada tepat waktu. Manakala bersenam juga perlu dititikberatkan.

    “Saya kena bertegas dalam hal ini demi kebaikannya,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda