Sunday, September 29, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hattan tak jadi bersara, ingat pesan arwah adik

    Penyanyi berpengalaman, Datuk Hattan, 60, membatalkan hasrat bersara kerana mengingati pesanan arwah adiknya, Allahyarham Muhammad Hatta Shahabudin yang menghembuskan nafas terakhir pada Syawal lalu.

    Pada Januari lalu, penyanyi lagu Rendang Tak Berbuah itu mengumumkan mahu bersara selepas tiga dekad menjadi penyanyi dengan alasan ingin berehat.

    Bagaimanapun, pesanan terakhir arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung membuatkan Hattan tersedar.

    “Kalau ikutkan, saya memang nak bersara. Namun, arwah banyak membebel seminggu sebelum Aidilfitri lalu ketika kami adik-beradik berkumpul di kampung.

    “Ada sahaja yang tak kena. Arwah juga ada bertanya kenapa saya nak berhenti menyanyi?

    “Arwah kata, Tuhan beri saya rezeki dan bakat supaya saya boleh kongsi dengan orang lain.

    “Selepas arwah tiada, saya ingat semula pesanannya, jadi saya buat keputusan tak jadi bersara dan akan teruskan karier sebagai penyanyi,” kata Hattan kepada BH Online.

    Hattan berkata, dia mula nampak pesanan arwah membantu orang lain apabila kini menanggung anak saudaranya, Mikael Hatta.

    Mikael yang juga anak tunggal arwah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menyambung pengajian di Jerman.

    “Anak arwah kini berada di bawah tanggungjawab saya. Sekurang-kurangnya, saya boleh bantu biayai pengajiannya jika masih menyanyi,” katanya.

    Sementara itu, Hattan yang bakal menjayakan Majlis Makan Malam Amal TMESA, Night Of Love And Compassion bersama penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah pada 14 Disember depan turut menjalani gaya hidup sihat dengan berhenti merokok. – Agensi

    Hattan batalkan hasrat bersara kerana mengingati pesanan arwah adiknya, Allahyarham Muhammad Hatta yang menghembuskan nafas terakhir pada Syawal lalu. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda