ISTANBUL, 8 SEPT – Pihak berkuasa Hawaii telah mengisytiharkan darurat ketika Taufan Kiko semakin menghampiri, dengan pejabat gabenor memberi amaran ia dijangka membawa ribut tropika, hujan lebat dan ombak besar mulai Isnin, lapor agensi Anadolu (AA).
Menurut Perkhidmatan Cuaca Honolulu, Kiko dijangka melanda bahagian utara Kepulauan Hawaii bermula esok hingga Rabu.
Pemangku Gabenor Hawaii, Sylvia Luke pada Jumaat mengumumkan perisytiharan darurat di seluruh negeri.
Perisytiharan itu membolehkan Pengawal Kebangsaan Hawaii membantu pihak berkuasa tempatan, menggerakkan agensi negeri bagi memberi sokongan serta mengaktifkan Dana Bencana Besar bagi menyediakan sumber kecemasan.
“Bagi memastikan keselamatan dan tahap kesiapsiagaan komuniti, negeri dan daerah akan bersiap sedia menggerakkan sumber untuk membersihkan runtuhan, mengukuhkan infrastruktur serta bertindak segera terhadap sebarang kerosakan akibat rebut.
“Kami menggesa penduduk dan pelancong supaya mengikuti perkembangan terkini, mematuhi arahan rasmi dan membuat persiapan sewajarnya,” kata Luke.
Tempoh darurat itu dikuat kuasa sehingga 19 September, kecuali dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal.
Beberapa undang-undang negeri juga digantung sementara bagi mempercepatkan tindak balas dan usaha pemulihan. – Bernama


