Hawaii kekalkan pengasingan diri, cegah penularan wabak

HONOLULU – Angela Margos antara penumpang pertama dari San Francisco yang menaiki kapal terbang ke Hawaii, di mana pelawat yang diuji negatif daripada koronavirus tidak lagi diperlukan untuk menjalani pengasingan diri selama dua minggu.

“Percutian, ketenangan minda,” kata Margos, seorang jururawat dari San Carlos, California, ketika ditanya mengenai tujuannya terbang ke Hawaii. “Saya memerlukan masa untuk berehat, bersantai.”

Program ujian pra-penerbangan yang bermula pada Khamis (15 Oktober lalu) membenarkan para pelawat yang diuji negatif COVID-19 dalam masa 72 jam dari waktu ketibaan mereka ke sana tidak perlu lagi menjalani pengasingan diri, satu langkah yang sebelumnya telah digunapakai kepada semua pelawat yang datang.

Pihak berkuasa berkata perintah pengasingan diri mandatori merupakan salah satu faktor penting dalam kejayaan awal Hawaii mengekang penularan koronavirus. Program ujian yang baharu itu merupakan satu usaha untuk membaik pulih kesan pandemik terhadap ekonomi Hawaii yang bergantung kepada pelancongan.

Margos berhadapan dengan beberapa kesulitan untuk mendapatkan keputusan ujiannya. Pada awalnya dia menjalankan ujian di hospital tempatnya bekerja, dan mendapat tahu bahawa ia tidak diiktiraf oleh United Airlines dan Hawaii. Dia kemudiannya membayar sebanyak AS$105 untuk ujian secara pandu lalu, namun kemudian dimaklumkan bahawa terdapat kesilapan pada ujian tersebut.

Theresa Zoller (kiri) mendapatkan ujian cepat COVID-19 daripada June Lopez, penolong perubatan Dignity GoHealth, sebelum menaiki penerbangan United Airlines ke Hawaii, di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco. – AP
Petugas United Airlines melakukan pemeriksaan ke atas penumpang di pintu masuk penerbangan ke Hawaii di Lapangan Terbang San Francisco. – AP
Laluan masuk ke sebuah resort popular di Waikiki ditutup kepada orang ramai. – AP

Margo akhirnya membayar sebanyak AS$250 untuk ujian dengan keputusan yang cepat di lapangan terbang San Francisco, yang menghasilkan keputusan negatif.

Walau bagaimanapun beberapa kelemahan yang terdapat dalam program ujian pra-penerbangan ditambah lagi dengan peningkatan kes COVID-19 di seluruh AS menimbulkan persoalan mengenai adakah Hawaii bersedia menyambut kedatangan semula pelawat dengan selamat.

Dan apabila kekangan setempat dilonggarkan sebelum percutian musim panas, penularan komuniti penyakit tersebut meningkat dalam kadar yang membimbangkan, memaksa perintah duduk di rumah dikenakan kembali buat kali kedua ke atas penduduknya serta penutupan perniagaan-perniagaan yang tidak penting.

Para pembantah program ujian itu berkata, ujian satu kali yang dijalankan 72 jam sebelum waktu ketibaan, terutama apabila terdapat pilihan sama ada untuk terbang tanpa menjalani ujian dan menjalani pengasingan diri, tidak cukup untuk melindungi penduduk di kepulauan tersebut.

Kathleen Miyashita dan suaminya adalah antara mereka yang datang ke Hawaii tanpa menjalani ujian. Mereka berkata mereka bercadang untuk menjalani pengasingan diri di ladang keluarga mereka di Oahu.

“Kami memilih untuk melakukan pengasingan diri selama 14 hari,” ujar Miyashita.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan makanan. Ia adalah seumpama syurga pengasingan diri dengan bekalan buah-buahan dan sayuran segar yang banyak di rumah.”

Dia berkata dia dan suaminya “sama sekali” tidak bimbang mengenai menjadi pembawa penyakit yang tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Kami sentiasa mengembara dan kami mengambil langkah berhati-hati,” katanya, sambil menambah bahawa mereka sudah pun melakukan pengasingan diri di Hawaii kira-kira dua bulan yang lalu.

Ekonomi Hawaii dibangun hampir sepenuhnya melalui sektor pelancongan dan orang-orang tempatan yang bergantung pada sektor tersebut perlu kembali bekerja.

Lebih 100 daripada kira-kira 4,000 restoran, kedai roti dan katering di Hawaii telah berhenti beroperasi selamanya dan lebih daripada 50 peratus dijangka tidak akan dapat meneruskan perusahaan mereka pada bulan-bulan yang mendatang, jelas pihak berkuasa.

Monica Toguchi Ryan, yang keluarganya memiliki dan mengusaha restoran The Highway Inn di Oahu untuk lebih dari 70 tahun, berkata ketiadaan pelancong telah menjejaskan mereka.

“Industri perkhidmatan dan restoran telah banyak menderita sepanjang pandemik ini,” kata Toguchi Ryan. “Restoran-restoran tidak menerima bantuan kerajaan sejak musim bunga dan bergelut untuk membayar perbelanjaan mereka. Beberapa buah restoran telah tutup sepenuhnya, mereka tidak mampu membayar sewa, bekalan makanan dan gaji pekerja.”

Toguchi Ryan telah menyertai Gabenor Demokratik David Ige pada Rabu lalu untuk berbincang mengenai kad debit restoran baharu yang akan memberikan sebahagian daripada penganggur di Hawaii sebanyak AS$500 untuk berbelanja di restoran tempatan selama 60 hari. Program bernilai AS$75 juta itu dibiayai melalui peruntukan CARES Act kerajaan dan bertujuan untuk merangsang ekonomi tempatan.

“Apabila restoran-restoran seperti kami mendapat lebih ramai pelanggan, kami membeli lebih banyak lagi daripada pembekal-pembekal dan kami melaburkan semula wang beberapa kali ke dalam ekonomi tempatan kita,”kata Toguchi Ryan.

Datuk-datuk bandar telah mengkritik rancangan negeri untuk satu kali ujian sebelum terbang dan meminta agar ujian kedua mandatori dijalankan terhadap semua penumpang yang tiba ke sana. Datuk Bandar Kauai Island Derek Kawakami berkata bahawa cadangan pertamanya untuk ujian kedua dijalankan telah ditolak oleh gabenor.

Datuk Bandar Big Island, Harry Kim berkata daerahnya tidak akan memilih program pra-penerbangan tersebut sepenuhnya dan akan terus memerlukan setiap pelawat yang tiba menjalankan pengasingan diri selama dua minggu. Kedua-duanya kini mempunyai rancangan yang berbeza.

Gabenor berkata pada minggu ini datuk-datuk bandar boleh mengimplementasikan langkah-langkah ujian kedua di pulau masing-masing, namun begitu kos dan logistik untuk menjalankan program-program tersebut akan ditanggung sendiri oleh daerah masing-masing.

Daerah Maui dan Kaui membuat keputusan untuk menjalankan ujian kedua pada pelawat-pelawat secara suka-rela. Big Island akan menjalankan saringan kedua dengan cepat untuk menghindari pengasingan diri.

Pihak berkuasa Oahu telah menjelaskan bahawa mereka ingin menempatkan ujian saringan lagi namun masih belum mempunyai kapasiti ujian yang mencukupi.

Undang-undang negeri dan daerah yang bercampur aduk itu boleh mengakibatkan huru-hara kepada para pelawat yang tidak bersedia sepenuhnya untuk menjalani pelbagai saringan yang diperlukan, terutama mereka yang pergi ke Big Island. – AP