Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hawaii pertahan kacang makadamia

    HONOLULU – Selama beberapa dekad, pelancong ke Hawaii telah membawa pulang kotak hadiah yang mengandungi kacang makadamia bersalut coklat yang terkenal di pulau itu untuk diberikan kepada rakan dan keluarga. Namun, pada masa kini, banyak biji kacang dalam bungkusan itu mungkin bukan ditanam di Hawaii.

    Fakta yang kurang diketahui ini muncul di Dewan Undangan negeri ketika penggubal undang-undang bergelut dengan undang-undang yang akan memaksa pengilang kacang makadamia daripada jenama ikonik seperti Mauna Loa untuk mendedahkan sama ada produk mereka mengandungi kacang dari luar kepulauan tersebut.

    Para petani ingin langkah itu dilaksanakan untuk melindungi tanaman dan ladang mereka, manakala jenama kacang komersial mengatakan apa yang Hawaii perlukan adalah lebih banyak kapasiti untuk memproses kacang makadamia secara tempatan.

    Ia merupakan perebutan terkini mengenai label untuk produk pertanian dari kawasan geografi tertentu, suatu topik yang biasa bagi Hawaii disebabkan pertikaian yang berpanjangan mengenai kopi Kona. Ia mencerminkan cabaran serupa yang dihadapi oleh pengeluar sirap maple di Vermont dan kilang penyulingan di Champagne, yang terpaksa menangkis pengeluar wain berkarbonat dari tempat lain yang cuba menggunakan nama wilayah Perancis itu.

    Kacang asing sedang ‘dipasarkan dengan licik sebagai produk Hawaii’, kata Jeffrey Clark, ketua pegawai operasi entiti perniagaan yang memiliki Syarikat Hamakua Makadamia Nut.

    Foto oleh Island Harvest Hawaii ini menunjukkan pokok kacang makadamia di Kohala, Hawaii. – AP
    Bungkusan kacang makadamia dipaparkan di rak-rak kedai pada 26 April di Honolulu. – AP
    Kacang makadamia merupakan sebahagian daripada jati diri dan kehidupan masyarakat di Hawaii. – AP

    “Tidak jelas kepada pengguna mana yang ditanam di Hawaii dan mana yang ditanam di luar negara,” kata Clark kepada para penggubal undang-undang negeri semasa sesi pendengaran jawatankuasa baru-baru ini. “Ia menimbulkan masalah kepada petani di sini di Hawaii.”

    Pertaruhannya adalah tinggi untuk petani kacang makadamia di Hawaii yang berjumlah 600 orang, yang kebanyakannya mempunyai operasi kecil. Secara keseluruhan, mereka menghasilkan kacang bernilai AS$62.7 juta pada 2021, tinggi lebih sedikit daripada nilai kopi dan di bawah ladang benih yang mengkaji jagung yang diubah secara genetik.

    Petani mengatakan mereka tidak dapat mencari pembeli untuk biji kacang mereka dan kacang yang tidak dituai sedang gugur dari pokok mereka. Sesetengah petani telah berputus asa dan cuba menjual peralatan mereka.

    Sebagai tindak balas, para penggubal undang-undang negeri telah meluluskan undang-undang yang memerlukan pembungkusan pengguna untuk mendedahkan apabila ia mengandungi kacang makadamia yang ditanam di luar Hawaii. Langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, jika ia menjadi undang-undang.

    Pokok kacang makadamia berasal dari Australia dan diperkenalkan ke Hawaii pada tahun 1881 oleh seorang warga Scotland yang menguruskan kilang gula Big Island. Percubaan besar pertama dalam penanaman komersil bermula pada tahun 1948. Kacang makadamia yang disaluti coklat menjadi popular pada dekad berikutnya. Pada tahun 1970an dan 1980an, Hawaii menghasilkan lebih daripada 10 kali ganda jumlah gabungan empat pengeluar utama berikutnya.

    Tetapi hari ini, Australia, Afrika Selatan, China dan Kenya semuanya berkembang lebih daripada Hawaii. Pada 2022, pengeluaran negeri menjunam 29 peratus daripada tahun sebelumnya, menurut data industri.

    Kumpulan Hawaiian Host menjual kacang makadamia di bawah beberapa jenama yang paling dihormati di negeri tersebut. Kotak segi empat tepat mereka yang mengandungi kacang makadamia bersalut coklat Hawaiian Host adalah kegemaran pelancong dan penduduk tempatan. Tin dan beg berwarna biru Mauna Loa mereka adalah antara produk kacang makadamia yang paling dikenali di rak-rak kedai.

    Ketua pegawai pentadbiran syarikat itu memberitahu para penggubal undang-undang dalam sesi pendengaran jawatankuasa Senat bahawa jumlah kacang makadamia asing yang dibeli oleh syarikat itu berbeza-beza bergantung pada hasil tanaman Hawaii.

    “Kami cuba membeli sebanyak mungkin kacang makadamia tempatan yang akan dijual oleh petani kepada kami,” kata Michelle Leon-Guerrero.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Ed Schultz memberitahu para penggubal undang-undang bahawa syarikatnya membeli satu pertiga daripada kacang makadamia yang ditanam di Hawaii. Ia telah berbuat demikian pada harga premium 35 peratus berbanding harga Australia pada tahun 2023 dan menyatakan bahawa kacang Hawaii perlu bersaing dengan kacang dari Australia, katanya.

    Beliau berkata apa yang diperlukan oleh industri adalah lebih banyak kapasiti pemprosesan. Untuk tujuan ini, Hawaiian Host mahu industri membentuk sebuah koperasi untuk menjalankan kemudahan pemprosesan baharu di Big Island. Ramai petani enggan menyertai projek sedemikian tanpa keperluan pelabelan yang akan membezakan kacang mereka daripada yang lain di seluruh dunia.

    Nathan Trump, presiden Persatuan Kacang Makadamia Hawaii, berkata kacang makadamia Hawaii mempunyai pengiktirafan jenama yang kukuh. Tetapi beliau berkata status quo menjadikan kacang itu sebagai komoditi.

    “Apabila awda melihat perkara seperti sirap maple Vermont, daging lembu New Zealand – negara asal yang berbeza adalah penting kerana kualiti penting bagi pengguna,” katanya.

    “Jika mereka mengetahui negara asal, saya fikir mereka akan dapat membuat keputusan jika mereka mahu membayar harga yang lebih tinggi.”

    Undang-undang Vermont mengatakan tiada produk maple boleh dilabelkan sebagai dari Vermont, atau dilabelkan dengan cara yang menjurus kepada Vermont, melainkan produk itu 100 peratus dihasilkan di Vermont mengikut piawaian negeri.

    Di Eropah, pembuat Champagne berkumpul pada abad ke-19 untuk menghalang pembuat wain berkarbonat yang beroperasi di tempat lain daripada menggunakan nama wilayah Perancis itu untuk minuman mereka. Hari ini, peraturan Kesatuan Eropah membenarkan produk mendapatkan penetapan geografi jika ia mempunyai hubungan khusus dengan tempat produk itu dibuat.

    Wakil Negeri Kristin Kahaloa dari daerah Big Island yang terletak di lereng barat Mauna Loa, gunung berapi yang merupakan nama jenama kacang popular itu. Beliau berkata petani dan pengeluar yang lebih kecil mahu kedua-dua keperluan pelabelan dan lebih banyak kapasiti pemprosesan, dan beliau bersetuju.

    “Mauna Loa ialah nama gunung kami,” kata Kahaloa. “Ini adalah tentang mengekalkan produk pertanian istimewa yang merupakan sebahagian daripada jati diri dan kehidupan komuniti di pulau kami.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda