KOTA KINABALU, 23 MEI – Penglibatan pengamal media seluruh bersama negara ASEAN sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada tahun ini akan menjadi platform dalam memastikan media tempatan terus relevan serta mampu membentuk kerjasama serta co-exist dengan media lain.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) , Mariah Doksil berkata HAWANA akan memberi peluang kepada setiap agensi mahupun wartawan berkongsi dan mempelajari dunia kewartawanan yang semakin mencabar masa kini seterusnya menjadikan diri mereka terus relevan.
“Ini akan membantu kita dalam mendepani cabaran terbesar kita pada zaman digital kini terutama melibatkan berita palsu,” katanya kepada Bernama.
Mariah turut berharap sambutan HAWANA pada tahun ini akan dapat bersama-sama mengupas pelbagai isu melibatkan dunia kewartawanan, sekali gus memurnikannya supaya petugas menjalankan tugas dengan lebih baik.
Beliau berkata antara isu yang perlu dipertimbangkan, termasuk pembayaran gaji yang terjejas berikutan pengurangan pembelian iklan, begitu juga dengan kebebasan media dan etika kewartawanan yang perlu diperkasakan.
Editor Jesselton Times Newmond Tibin pula berpendapat Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia wajar direalisasikan sempena sambutan HAWANA tahun ini kerana sudah tiba masa ia beroperasi sebagai entiti sah selepas Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan Dewan Rakyat Februari lepas. – Bernama
