Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    HAWANA: Sarawak sedia hantar wartawan ke Cambridge

    KUCHING, 29 MEI – Sarawak menyatakan kesediaan untuk menghantar pengamal media yang juga anak kelahiran negeri itu, untuk menyertai kursus eksekutif berkaitan bidang kewartawanan di Cambridge, United Kingdom.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan berkenaan diambil bagi meningkatkan mutu pelaporan berita, seterusnya mengangkat martabat industri kewartawanan negara.

    “Kalau kita boleh beri pendidikan tinggi percuma, sudah tentu saya ada peruntukan untuk menghantar wartawan untuk program eksekutif ini.

    “Pemilihan wartawan yang akan ke kursus eksekutif ini melibatkan kerjasama persatuan-persatuan wartawan di Sarawak untuk melihat kelayakan calon.

    “Saya harap usaha ini meningkatkan kualiti laporan dan khusus buat pengamal media dari Sarawak yang mempunyai idea-idea baharu untuk masa depan kewartawanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Persidangan Karbon Asia 2025, hari ini.

    Sebelum ini, Abang Johari dilaporkan berkata Sarawak bercadang menghantar dua wartawan ke Cambridge untuk menyertai kursus eksekutif berkaitan kewartawanan bagi meningkatkan standard laporan berita tempatan agar setaraf antarabangsa.

    Bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada golongan pengamal media negara.

    Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun depan, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 21 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda