LOS ANGELES, 26 MAC – Atlanta Hawks melakukan kebangkitan luar biasa untuk mengubah keadaan selepas ketinggalan 30 mata dan mengalahkan pendahulu Eastern Conference, Boston Celtics, dengan keputusan 120-118, baru-baru ini.
Boston, yang telah disahkan meraih tempat pilihan teratas Eastern Conference kelmarin, dilihat sedang memburu kemenangan selepas mengatasi Atlanta 44-22 pada suku pertama.
Celtics mencatatkan kelebihan 30 mata di pertengahan suku kedua sebelum Atlanta bangkit dan mula mendahului Boston.
Hawks mengekalkan saingan pada separuh masa kedua, merapatkan lagi jurang dengan 34-22 suku ketiga sebelum memanfaatkan momentum itu ke suku keempat untuk menamatkan kemenangan dramatik.
De’Andre Hunter memimpin Hawks dengan menjaringkan 24 mata, termasuk tiga mata ketika perlawanan berbaki 10 saat sekali gus memberikan Atlanta kelebihan empat mata dan secara efektif menjadikan permainan itu selamat.
Hunter dibantu dengan 22 mata daripada Bogdan Bogdanovic manakala Dejounte Murray menamatkan permainan dengan 19 mata, 15 assist dan lima rebound.
Jurulatih Hawks, Quin Snyder, memuji sokongan yang tidak kenal lelah daripada penyokong-penyokong di rumah Atlanta yang membantu mendorong pasukannya ke kemenangan yang luar biasa.
“Malam ini cara kami memulakan permainan dan cara Boston memulakan, tenaga mereka benar-benar memberi kami dorongan,” kata Snyder tentang penyokong Atlanta.
“Setiap kali awda ketinggalan dengan jurang yang besar, awda harus mempunyai sesuatu yang luar biasa untuk kembali dalam permainan.
“Dan apabila awda mempunyai sekumpulan orang yang awda tahu ada di belakang awda dalam keadaan sukar atau senang, hujan atau terik dan pada awalnya memang banyak rintangan – mereka merupakan bagian besar dalam membantu matahari bersinar malam ini.”
Atlanta meningkat kepada 32-39 dan kekal di tempat ke-10 di East Conference, dalam perjalanan untuk mendapatkan tempat dalam kejohanan play-in. – AFP