Saturday, January 25, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hayati keajaiban Pulau Tenggol

    TERENGGANU – Terdapat sesuatu di sebalik Pulau Tenggol seolah-olah ia mempunyai rahsia yang tersembunyi. Permata kecil di luar pantai timur Semenanjung Malaysia itu tidak perlu meminta untuk menjadi perhatian berbanding kawasan-kawasan jiran yang lebih bergemerlapan. Seruan lembut pasir, air biru kehijauan dan dunia bawah air yang begitu kaya dan bercahaya, ia terasa seperti mimpi yang terjaga.

    Tidak mudah untuk ke pulau berkenaan – perlu menaiki bot dari Kuala Dungun, sebuah bandar nelayan di Terengganu. Kurangnya pendedahan tentang Tenggol adalah kekuatan terbesarnya. Ia bukan merupakan destinasi untuk pelancong yang ingin mencari kolam infiniti atau kelab pantai bagi koleski gambar dan video di Instagram. Akan tetapi, ia adalah tempat untuk mereka yang ingin tahu, mengembara, dan mencari pengalaman.

    Di bawah permukaan bercahaya pulau itu terdapat dunia yang menakjubkan. Tenggol adalah rumah kepada beberapa terumbu karang yang paling murni di Asia Tenggara.

    Penyelam berkunjung ke tempat tersebut untuk menerokai 25 tapak menyelam, daripada taman karang lembut yang sesuai untuk pemula hingga ke puncak bawah air yang mencabar dan dinding dalam bagi profesional berpengalaman.

    Bagaimanapun, permata mahkota khazanah laut Tenggol ialah karang otak berusia 800 tahun, salah satu yang terbesar seumpamanya di dunia. Terletak di dasar laut seperti pengawal laut purba, pembentukan karang besar itu mengingatkan keseimbangan alam dan masa. Berenang di sekelilingnya terasa seperti menepis sejarah.

    Nikmati kedamaian dan ketenangan pulau itu. – ANN/TheStar
    Terdapat 25 tempat menyelam di sekitar Tenggol dan awda boleh menyewa beberapa peralatan dari Pusat Menyelam. – ANN/TheStar
    Ketenangan Pulau Tenggol adalah alternatif berbanding pulau-pulau popular Terengganu yang lain. – ANN/TheStar
    Tenggol asalnya sebagai pulau untuk nelayan berlindung semasa ribut. – ANN/TheStar
    Hamparan pasir putih dikelilingi oleh hutan rimbun dan perairan biru yang jernih. – ANN/TheStar

    Perairan Tenggol juga merupakan taman permainan jerung paus semasa musim penghijrahan mereka dari Ogos hingga Oktober. Melihat haiwan gergasi tersebut berenang di dalam air adalah pengalaman yang jarang diperolehi.

    PANTAI YANG SEMPURNA UNTUK BERGAMBAR

    Di darat, Tenggol adalah kecantikan yang bersahaja. Pantainya adalah bagaikan sesuatu yang awda impikan – hamparan pasir putih lembut yang dikelilingi oleh hutan rimbun dan perairan biru yang jernih. Tiada bunyi riuh-rendah di pulau itu, hanya bunyi gemeresik daun nipah dan deruan ombak yang lembut.

    Penginapan di pulau itu adalah asas yang terbaik. Bayangkan chalet kecil dan resort ringkas dilengkapi dengan keperluan penting. Di samping itu, tiada kemewahan lima bintang kerana ia bukan menumpukan tentang perkara itu. Akan tetapi, Tenggol lebih tertumpu pada cara untuk menghindari dari suasana bising selain menghubungkan kembali kemesraan dengan alam sekeliling.

    Bagi mereka yang mencari kesendirian, suasana pagi di Tenggol sangat menakjubkan. Matahari terbit memenuhi pulau itu dengan cahaya keemasan, dan hutan disemarakkan dengan bunyi burung dan jangkrik.

    Manakala menjelang senja diserikan lagi dengan kanopi bintang, di mana ia tidak dicemari oleh pencemaran cahaya di bandar.

    Dalam tradisi Malaysia sebenar, makanan Tenggol adalah cerminan persekitarannya. Di pulau tersebut, makanan laut menjadi keutamaan. Selepas seharian menyelam atau snorkeling, tiada yang lebih baik daripada menjamu selera dengan ikan segar yang dipanggang dengan sempurna, dihidangkan dengan sambal belacan – pes cili padi yang membangkitkan rasa.

    Cef di pulau itu menyediakan hidangan dengan mudah, menggunakan sumber hasil dari tangkapan yang masih segar. Bayangkan udang mentega, sotong tumis dengan bawang putih, dan ketam yang dimasak dengan sos yang diperkaya serta pedas. Makanan di pulau itu tidak mewah, tetapi jujur, ia lazat dan sangat memuaskan.

    KEPENTINGAN TENGGOL

    Dari segi sejarah, Tenggol adalah tempat perlindungan bagi nelayan semasa ribut. Ia tidak pernah dijadikan bagi tujuan tempat tinggal.

    Pulau tersebut mengekalkan suasana alam semula jadinya yang tidak pernah disentuh, berbeza dengan kawasan tumpuan pelancongan yang diperkembangkan di mana ia mendominasi sebahagian besar Asia Tenggara.

    Dari segi geografi, Tenggol adalah sebahagian daripada Taman Laut Terengganu, kawasan perlindungan khusus untuk memulihara ekosistemnya yang unik. Pulau kecil itu – hanya 3 kilometer (km) panjang dan 2km lebar – tetapi memberikan nilai kepuasan yang tidak tertandingi kepada pengunjung. – ANN/TheStar

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda