Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hazama tak cemburu dengan artis Indonesia

    Kemasukan artis seberang ke Malaysia untuk menjayakan konsert sedikitpun tidak menggusarkan penyanyi, Hazama, jauh sekali menerbitkan rasa cemburu.

    Sebaliknya, Hazama melihat kemasukan artis Indonesia seperti kumpulan Dewa 19, Kunto Aji dan Hetty Koes Endang untuk mementaskan konsert sebagai perkembangan positif industri muzik tempatan.

    Malah, Hazama berpendapat, konsert dijayakan artis tempatan seperti Search, Wings, Anuar Zain & Ziana Zain dan Datuk Hattan tidak kurang hebatnya apabila tiket laris bagai pisang goreng panas.

    “Kami tidak boleh buat apa-apa jika penganjur lebih yakin dengan penyanyi seberang.

    “Tetapi kita juga tidak boleh menidakkan kemampuan penyanyi tempatan kerana mereka juga ada ‘crowd’ tersendiri seperti yang dilihat pada acara Faztival Fazura, baru-baru ini.

    Hazama berpendapat, konsert dijayakan artis tempatan seperti Search, Wings, Anuar Zain & Ziana Zain dan Datuk Hattan tidak kurang hebatnya apabila tiket laris dijual. – Agensi

    “Bagi saya kemasukan penyanyi Indonesia bukanlah suatu masalah. Apa yang penting, peminat nampak industri sudah kembali aktif.

    “Tidak kisahlah dari mana dan siapa penghiburnya, Indonesia atau Hollywood. Apa yang penting, industri hiburan kembali rancak.

    Hazama berkata, impak sama turut dirasai industri perfileman yang rancak semula.

    “Bagi saya, tidak perlu berkecil hati. Apa yang penting, peminat sanggup keluarkan wang untuk tonton konsert dan filem.

    “Jadi, kita perlu lihat perkara itu dari sudut positif.

    “Situasi itu berbeza 10 tahun lalu di mana peminat hanya mengharapkan konsert percuma.

    “Jadi, apabila lihat mereka sanggup keluar wang untuk menonton konsert, sebagai penyanyi, saya perlu tumpang gembira,” katanya.

    Mengenai hasrat dalam mementaskan persembahan solo, Hazama berkata, selepas lebih sedekad membina nama, niat itu terus disimpan.

    Namun, Hazama perlu melunaskan Konsert 4G’s bersama Akim, Tomok dan Black yang sepatutnya berlangsung tahun lalu, tetapi ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda