Sunday, April 13, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haziq terus pertahankan irama Malaysia

    Penyanyi Haziq Rosebi, 37, sememangnya begitu dikenali dan tidak asing lagi dengan kelunakan suaranya dalam mendendangkan lagu-lagu yang bergenrekan tradisional ataupun irama Malaysia.

    Kekal setia melantunkan genre itu hampir dua dekad selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim keempat, kemerduan suara pemilik nama Hazwan Haziq Rosebi ini bukan sahaja menggamit sanubari penggemar lagu itu akan tetapi juga, sentiasa menjadi pilihan undangan ke istana.

    Tidak pernah jemu memperjuangkannya tatkala kerancakan aliran muzik moden, bagi pelantun yang terkenal dengan lagu Lemak Manis ini, usaha yang dilakukannya itu hanyalah ‘sebahagian kecil’ dalam memastikan irama tradisi yang merupakan khazanah warisan negara ini terus mekar merentasi masa.

    “Saya betul-betul minat genre ini. Arwah ayah dan mak, sering tekankan lagu-lagu tradisional tidak boleh dilupakan kerana itu merupakan akar umbi kita. Kalau bukan kita orang muda yang memperjuangkan, siapa lagi?” katanya kepada Bernama.

    Biarpun begitu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif ini mengakui bukan mudah untuk mendendangkan lagu genre tersebut apatah lagi, berhadapan dengan kesukaran untuk menjentik hati pendengar muda yang kebanyakannya lebih cenderung kepada muzik moden.

    “Pendengar genre ini (tradisional) kebanyakannya berumur 40 tahun ke atas. Nak tarik orang muda, (memang) agak mencabar kerana mereka terdedah dengan pelbagai kandungan di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram.

    Usaha ini menurutnya, boleh dilakukan dengan memperbanyakkan lagi pertandingan yang khusus untuk genre tradisional selain mendekati generasi muda dengan pelbagai platform antaranya, menerusi medium media sosial. – Bernama

    Haziq Rosebi, sememangnya begitu dikenali dan tidak asing lagi dengan kelunakan suaranya dalam mendendangkan lagu-lagu yang bergenrekan tradisional ataupun irama Malaysia. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda