Sunday, July 7, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    ‘Healing’ dengan mencanting batik

    KOTA BAHARU – Aktiviti mencanting batik di Kampung Kraftangan di sini bukan sahaja dapat melestarikan warisan seni budaya, malah kini ia menjadi cara ‘healing’ terbaharu bagi pengunjung.

    Pelukis Batik Zakaria Jusoh, 69, dari Kampung Jambu berkata, menerusi aktiviti mencanting batik yang ditawarkan ia dapat merealisasikan idea kreatif seseorang menerusi lukisan yang dihasilkan, malah ia juga mampu menjadi terapi minda sekali gus dapat mengurangkan tekanan.

    Beliau berkata, aktiviti mencanting batik yang diusahakannya sejak empat tahun lepas kini menjadi pilihan rata-rata pengunjung bukan sahaja daripada penduduk tempatan bahkan juga pelancong dari luar negara termasuk Eropah, China, Australia dan sebagainya.

    “Corak batik yang dikehendaki akan dilukis di atas kain putih menggunakan lilin yang panas, dengan kain putih itu telah dipotong mengikut saiz bersesuaian, ditekapkan di atas bingkai kayu yang seakan-akan bingkai gambar.

    “Antara corak yang dilukis adalah berbentuk floral dan fauna, selain elemen perkampungan atau rumah tradisional, malah setiap lukisan yang dihasilkan saya mengambil masa kira-kira sekitar tiga hingga lima minit,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Pelukis Batik Zakaria Jusoh menghasilkan batik canting ketika ditemui Bernama di kedai Zecsman Design miliknya di Kampung Kraftangan, Kota Bharu. – Bernama
    Zakaria Jusoh (kiri) menujukkan cara untuk mewarnakan batik canting kepada pengunjung. – Bernama
    Pelukis Batik Zakaria Jusoh menunjukkan sebahagian batik canting yang dihasilkan ketika ditemui Bernama di kedai Zecsman Design miliknya di Kampung Kraftangan, Kota Bharu. – Bernama

    Zakaria yang berbekalkan ilmu serta pengalaman diperolehi semasa mengikuti kursus dan latihan selama tiga tahun di Institut Kraf Negara pada tahun 1996 berkata, beliau terlebih dahulu akan memberi penerangan kepada pelanggannya sebelum memulakan aktiviti mencanting batik.

    Beliau berkata, antara ‘ilmu’ yang akan diterangkannya ialah mengenai pengetahuan asas tentang warna terutamanya melibatkan warna asas iaitu warna kuning, biru dan merah, dan tiga warna asas ini mampu dijadikan sebagai asas untuk mendapatkan warna kedua selain selok belok menggunakan berus cat.

    “Setiap pelanggan dikenakan bayaran RM10 bagi setiap bingkai lukisan batik yang diperolehi sebelum mereka perlu mengecat batik yang telah dilukis mengikut cita rasa dan kreativiti masing-masing dengan menggunakan kelengkapan yang disediakan termasuk cat dan juga berus.

    “Tempoh untuk menyiapkan setiap lukisan bergantung kepada kepantasan dan kecekapan pelanggan. Jika mereka mempunyai asas dan minat  tinggi dalam mewarna tempoh masa yang diperlukan mungkin hanya kurang daripada 30 minit,” katanya.

    Zakaria berkata, seni yang dihasilkannya itu bukan sahaja mendapat permintaan di Kampung Kraftangan sahaja bahkan beliau turut dijemput pihak sekolah dan juga jabatan-jabatan kerajaan mahupun negeri untuk melakukan aktiviti mencanting batik.

    Seorang pelanggan, Masliana Johar, 25, dari Negeri Sembilan berkata dia tertarik untuk melakukan aktiviti mencanting batik selepas melihatnya di aplikasi Tiktok berkaitan aktiviti yang dapat dilakukan sekiranya berkunjung di Kampung Kraftangan.

    “Kebetulan saya datang melancong ke Kelantan bersama rakan maka kami berdua membuat keputusan untuk memasukkan aktiviti mencanting batik ini dalam percutian pada kali ini. 

    “Ternyata ia merupakan satu pengalaman yang baharu dan menyeronokkan, selain memberi ketenangan kepada diri sepanjang saya menyiapkan lukisan itu,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...