Oleh Florey D.Mikil dan Gisele Soo –
INDIA – Menenangkan diri di tepi pantai, sentuhan lembut tukang urut dan kehangatan minyak herba, sesi urutan Ayurveda di Trivandrum, India adalah sesi yang akan menghilangkan semua kebimbangan awda.
Berasa segar dan bersemangat, awda akan bersedia untuk meneroka lebih banyak perkara yang ditawarkan oleh bandar pantai yang menawan – dengan pemandangan indah dan warisan budaya yang kaya.
Sudah tentu, pertama sekali, awda perlu menjejakkan kaki ke Trivandrum, atau nama rasminya Thiruvananthapuram, untuk mengalami semua keajaibannya.
TRADISI KESIHATAN
Sebagai ibu kota Kerala, sebuah negeri yang terkenal dengan warisan Ayurveda, Trivandrum sendiri menjadikan destinasi yang sesuai untuk mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Ayurveda.
Jika awda meminati kesihatan, kemungkinan besar awda sudah biasa dengan istilah ini.
Ringkasnya, Ayurveda, yang diterjemahkan kepada ‘sains kehidupan’ dalam bahasa Sanskrit, adalah sistem perubatan holistik yang berasal dari India kira-kira 5,000 tahun yang lalu.
Ia menekankan tentang cara untuk mengekalkan keseimbangan badan, minda dan kesedaran, seperti yang diterangkan oleh Institut Ayurveda di Amerika Syarikat.
Berdasarkan lima elemen – ruang, udara, api, air, bumi – Ayurveda mengenal pasti tiga tenaga asas dalam badan fizikal iaitu ‘Vata,’ ‘Pitta’ dan ‘Kapha.’ Tenaga tersebut, atau doshas, mesti kekal seimbang, kerana sebarang ketidakseimbangan akan membawa kepada kesihatan yang tidak baik.
Memandangkan ia merangkumi seluruh badan, rawatan Ayurveda selalunya menggabungkan urutan, meditasi, yoga, diet khas dan ubat herba untuk memastikan keseimbangan doshas yang betul.
Di Trivandrum, terdapat banyak tempat yang menawarkan rawatan Ayurveda, daripada pusat peranginan hingga pusat kesihatan dan hospital.
Beach & Lake Ayurveda, Somatheeram Ayurveda Health Resort dan Palmleaves Ayurveda Retreat adalah sebahagian daripada resort yang menawarkan pakej percutian menampilkan rawatan dan terapi Ayurveda.
DEKAT DENGAN ALAM SEMULA JADI
Satu lagi tempat santai ialah Tasik Vellayani, tasik air tawar kedua terbesar di Kerala. Awda juga boleh menuju ke Pulau Munroe, di mana rangkaian terusan, lagun dan saluran air merentasi pulau itu.
Dengan rumah tradisional Kerala, sawah padi dan pokok kelapa menghiasi tempat berkenaan, Pulau Munroe menawarkan suasana kampung nostalgia yang mengagumkan.
Memerhati burung juga merupakan aktiviti popular di Trivandrum, tetapi jika awda terlupa membawa teropong, jangan risau kerana awda boleh melihat ‘burung’ gergasinya yang terkenal.
Ia juga terkenal dengan arca burung terbesar di dunia di Pusat Bumi Jatayu, juga dikenali sebagai Taman Semula Jadi Jatayu. Hasil karya artis dan pembuat filem Rajiv Anchal, arca itu panjangnya 61 meter (m), 46m lebar dan 21m tinggi!
Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di pusat itu, termasuk mendaki batu dan ziplining, serta ruang dalam gua untuk para pengunjung berehat.
BOT RUMAH TERAPUNG
Cara yang unik dan tidak dapat dilupakan untuk menikmati pemandangan semula jadi Trivandrum adalah di atas Kettuvallam – bot rumah tradisional Kerala.
Pada asalnya ia digunakan untuk mengangkut beras dan rempah ratus, bot itu kini telah ditukar menjadi ‘rumah terapung,’ diperbuat daripada bahan mesra alam seperti buluh dan kayu.
Semasa melayari laluan air yang tenang, awda bukan sahaja disaji keindahan yang tenang tetapi juga pemandangan kehidupan luar bandar, di mana tradisi memancing dan bertani masih menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
Perjalanan menjadi lebih menarik di atas bot – awda boleh menikmati makanan tempatan asli, termasuk kari aromatik dan makanan laut segar yang baru disediakan.
Lawatan biasanya mengambil masa beberapa jam, menjadikan pelayaran ideal untuk bersantai. Tetapi jika mencari pengalaman yang lebih menyeronokkan, awda mempunyai pilihan untuk bermalam.
Pelayaran Kettuvallam sesuai untuk menerokai alam semula jadi dan budaya sambil berehat.
SEJARAH DAN BUDAYA
Dari segi kerohanian, Trivandrum menjemput awda untuk menerokai kuilnya yang berusia ratusan tahun.
Ruang suci itu bukan sahaja untuk ibadat, tetapi ia adalah mercu tanda budaya yang dipenuhi dengan sejarah, ritual dan keindahan seni bina.
Awda juga perlu meletakkan Kuil Sree Padmanabhaswamy sebagai senarai atas lawatan.
Terletak di dalam kawasan Kubu Timur, ia dianggap sebagai salah satu kuil terkaya di dunia, berikutan penemuan khazanah yang luas di kompleksnya. Tetapi apa yang benar-benar menarik para pengunjung adalah seni binanya yang rumit, mempamerkan ukiran batu dan gopuram mencerminkan hasil seni indah.
Untuk memahami lebih lanjut tentang sejarah Trivandrum, awda boleh melawat Muzium Napier, yang mempunyai kira-kira 550 pameran tentang sejarah dan arkeologi.
Ia terletak di dalam Kompleks Muzium dan Zoo Thiruvananthapuram, di mana awda boleh meluangkan masa seharian untuk melihat haiwan dan tarikan lain, seperti Galeri Seni Chitra dan Muzium Sejarah Semula Jadi. – ANN/The Star