PUY DE SANCY, 15 JULAI – Ben Healy menjadi pelumba Ireland pertama sejak Stephen Roche pada 1987 yang memegang kedudukan pendahulu keseluruhan Tour de France kelmarin selepas melancarkan serangan bertenaga merentasi lapan bukit mencabar di kawasan pergunungan Massif Central.
Pelumba berusia 24 tahun dari pasukan EF itu sebelum ini telah memenangi peringkat keenam di Normandy, namun kali ini Healy mengesahkan potensinya dengan kayuhan luar biasa yang menghadiahkannya jersi kuning yang berprestij itu.
Healy menjadi pelumba Ireland keempat yang pernah menyarung jersi kuning selepas Shay Elliott (1963), Sean Kelly (1983), dan Stephen Roche yang akhirnya menjuarai perlumbaan epik itu 38 tahun lalu.
Persembahan cemerlang Healy malah mengatasi kejayaan pemenang peringkat, Simon Yates, yang mengekori rapat di belakangnya sepanjang kayuhan merentasi kawasan gunung berapi purba yang menjadi mercu tanda geografi rantau tersebut.
Atas usahanya yang tidak mengenal lelah, terutamanya ketika melepasi kampung-kampung batu gunung berapi kelabu-hitam, Healy turut dianugerahkan anugerah combativity sebagai pelumba paling menyerang hari itu.

“Tabik hormat buat dia, dialah yang tinggalkan semua orang,” kata Yates tentang Healy selepas kumpulan pelarian awal yang terdiri daripada 30 pelumba dikurangkan kepada lima.
Yates, juara Giro d’Italia 2025, melancarkan serangan di pendakian terakhir hari itu, diikuti Thymen Arensman (Ineos) di tempat kedua dan Healy di tempat ketiga dengan ketinggalan 31 saat – namun tidak pernah mengendur sepanjang hari yang cukup mencabar.
Healy, yang dilahirkan di Birmingham tetapi memilih untuk mewakili Ireland, kini juga memegang jersi putih sebagai pelumba muda terbaik.
“Kemenangan peringkat dan jersi kuning hari ini sangat bermakna buat saya,” kata Healy, yang menunggu dengan penuh debaran ketika Tadej Pogacar menamatkan perlumbaan 4 minit 51 saat kemudian sekali gus kehilangan kedudukan pendahulu keseluruhan, mungkin untuk beberapa hari.
“Jersi kuning ini lebih kepada penghargaan buat pasukan yang bekerja keras untuk menempatkan saya di sini, tetapi kemenangan peringkat mungkin lebih bermakna kerana ia datang dahulu,” tambahnya.
Dua pelumba pilihan, Tadej Pogacar dan Jonas Vingegaard, menamatkan perlumbaan bersama selepas lapan pendakian di Massif Central dengan kedua-duanya hampir tidak pernah berpisah sepanjang hari.
Healy kini mendahului kedudukan keseluruhan Tour de France dengan kelebihan 29 saat ke atas juara bertahan Pogacar, manakala Remco Evenepoel dari Belgium berada di tempat ketiga dengan ketinggalan 1 minit 29 saat. – AFP