BOSTON, 30 MEI – Jimmy Butler memainkan peranan penting ketika Miami Heat mara ke pusingan akhir NBA selepas menundukkan Boston 103-84 kelmarin, menafikan kebangkitan bersejarah Celtics selepas ketinggalan 3-0 dalam siri playoff.
Butler menjaringkan 28 mata, tujuh rebound dan enam assist manakala Caleb Martin menambah 26 mata dan 10 rebound untuk menjulang Miami, yang akan mengunjungi Denver pada Khamis untuk memulakan perlawanan akhir kejohanan terbaik daripada tujuh.
Miami bangkit daripada kekalahan pada perlawanan keenam, di mana mereka kalah pada hujung detik terakhir, untuk memenangi perlawanan akhir Eastern Conference 4-3, membuatkan peminat Boston terdiam.
Dengan memanfaatkan kesempatan sepenuhnya daripada kecederaan bintang Boston, Jayson Tatum pada saat pembukaan dan permulaan aksi Celtics, Heat berjaya menghindari daripada menjadi pasukan pertama dalam 151 percubaan untuk tewas dalam siri playoff selepas mendahului 3-0.
“Kami tetap bersatu sebagai satu kumpulan,” kata Butler. “Kami bercakap tentang menghadapi perlawanan yang sukar dan kami melakukan perkara itu.
“Tetapi kami tidak berpuas hati. Kami sangat gembira. Tetapi kami harus mendapatkan satu lagi,” tambahnya.
Jurulatih Miami, Erik Spoelstra berkata, dia tidak pernah meragui skuadnya yang berdaya tahan boleh memenangi perlawanan ketujuh.
“Kadang-kadang awda perlu merasai derita untuk perkara yang awda mahukan,” katanya. “Kumpulan ini telah menunjukkan ketabahan apabila terdapat kekecewaan dan kegagalan yang tidak dapat dielakkan, tetapi memiliki ketabahan untuk bangkit, semangat kolektif untuk terus maju ke hadapan.”
Heat, yang memburu gelaran NBA keempat dan pertama sejak 2013, kali terakhir mara ke pusingan akhir NBA pada 2020, tewas kepada Los Angeles Lakers. – AFP