LONDON, 29 JAN – Menteri Kewangan Britain, Rachel Reeves, dijangka mengumumkan rancangan kontroversi bagi pembinaan landasan ketiga di Lapangan Terbang Heathrow, London hari ini, sebagai langkah kerajaan Parti Buruh untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara itu.
Meskipun mendapat tentangan daripada aktivis alam sekitar dan beberapa ahli parlimen Parti Buruh, Perdana Menteri Keir Starmer bertekad untuk melaksanakan projek infrastruktur utama bagi memacu pertumbuhan ekonomi UK, yang terus bergelut sejak parti itu memegang tampuk pemerintahan pada Julai lalu.
Setelah bertahun-tahun berdepan pertikaian undang-undang, Mahkamah Agung Britain pada penghujung 2020 telah membenarkan Lapangan Terbang Heathrow lapangan terbang terbesar di Eropah berdasarkan jumlah penumpang untuk membina landasan ketiga. Keputusan tersebut membatalkan larangan pembinaan yang dikenakan atas alasan alam sekitar.
Walaupun kerajaan Konservatif ketika itu menjangkakan pembinaan bermula pada 2022, projek tersebut tergendala akibat pelbagai halangan tambahan serta kesan gangguan pandemik COVID-19.
Reeves dijangka mengumumkan projek Lapangan Terbang Heathrow itu bersama pelan pengembangan dua lapangan terbang lain yang berkhidmat untuk ibu kota, iaitu Lapangan Terbang Gatwick dan Luton, dalam ucapannya hari ini yang dijangka memfokuskan usaha pertumbuhan ekonomi termasuk melalui pelonggaran peraturan perancangan.
Selain itu, kerajaan Britain juga telah meluluskan penambahbaikan kepada Lapangan Terbang Stansted dan City di London.
Sambil hampir mengesahkan laporan media British mengenai projek-projek tersebut, Canselor Perbendaharaan Reeves tetap berahsia apabila berkata kepada BBC pada Ahad: “Awda akan mengetahui rancangan itu apabila kami mengumumkannya.”
Beliau menegaskan bahawa projek tersebut dapat mengurangkan pembaziran bahan api pesawat yang menunggu untuk mendarat di hab utama di barat ibu kota.
“Landasan ketiga akan membolehkan penerbangan mendarat terus tanpa perlu berpusing-pusing di sekitar London,” kata Reeves. – AFP
