Heathrow saran ujian virus di lapangan terbang

LONDON, 29 JULAI – Lapangan terbang Heathrow di London hari ini menggesa kerajaan supaya mewujudkan program ujian koronavirus untuk pelancong bagi mengganti kuarantin, apabila ia mengumumkan kerugian berjumlah lebih satu bilion pound pada 2020.

Hab penerbangan itu, bia-sanya paling sibuk di Eropah, berkata ia mencatat kerugian sebelum cukai berjumlah 1.1 bilion pound dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, tatkala pandemik menjejas teruk sektor penerbangan.

“Keputusan hari ini harus berfungsi sebagai satu seruan lantang untuk kerajaan bahawa UK memerlukan rejim ujian penumpang,” kata ketua eksekutif John Holland-Kaye dalam satu kenyataan.

“Tanpanya, Britain hanya bermain dalam permainan rolet kuarantin.”
“Ujian menawarkan cara yang selamat untuk membuka perjalanan dan perniagaan kepada beberapa pasaran terbesar UK yang masih ditutup sekarang,” tambah Holland-Kaye.

“Pesaing Eropah kami sedang berlumba untuk mendahului dalam ujian penumpang, dan sekiranya UK tidak bertindak cepat, Britain tidak akan mempunyai apa-apa selain slogan kempen.”

Perdana Menteri Britain Boris Johnson telah mempertahankan tindakan kuarantin terbaharu, mengingatkan tindakan ‘segera’ diperlukan tatkala Eropah melihat ‘gelombang kedua’ virus.

Pegawai dipercayai telah bosan dengan sistem ujian lapangan terbang disebabkan mereka bimbang ia akan terlepas orang yang dijangkiti virus tetapi masih belum menunjukkan simptom. – AFP

Gambar fail menunjukkan penumpang memakai penutup mulut dan hidung semasa mereka tiba di Lapangan Terbang Heathrow di London. – AFP