Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hector Hevel pemain kelima sertai JDT

    JOHOR BAHRU, 24 JUN – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuh barisan pemain mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025-2026 dengan membawa masuk pemain tengah skuad Harimau Malaya, Hector Hevel.

    Pasukan Harimau Selatan itu mengumumkan ketibaan pemain berusia 29 tahun kelahiran Belanda berkenaan menerusi satu rakaman video yang dikongsi di laman Facebook rasmi kelab lewat malam tadi, beberapa jam selepas memperkenalkan pemain pertahanan kelahiran Sepanyol, Jon Irazabal.

    Hevel, yang layak menyarung jersi Malaysia menerusi status pemain warisan akan menyarung jersi nombor 8 bersama JDT musim ini.

    “Selamat datang ke JDT, Hector Hevel. Pemain tengah kami yang terbaharu!” menurut kenyataan kelab itu.

    Bekas pemain ADO Den Haag dan Portimonense itu memulakan karier antarabangsa bersama skuad kebangsaan Malaysia dengan cemerlang apabila menjaringkan gol pada penampilan sulung ketika menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac lepas.

    Dia turut memainkan peranan penting dalam kemenangan 4-0 skuad kebangsaan ke atas Vietnam pada perlawanan Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.

    Dengan kehadiran Hevel dan Irazabal, JDT kini telah mengesahkan lima pemain baharu bagi musim baharu. Tiga lagi pemain yang diumumkan sebelum ini ialah penyerang Ibrahim Manusi; pemain tengah Brazil, Jairo Da Silva dan pertahanan Sepanyol, Antonio Glauder. – Bernama

    Hector Hevel (empat, kiri) ketika menyertai sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 6 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda