Sunday, July 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Heitinga terima ‘lamaran’ Ajax

    THE HAGUE, 1 JUN – Bekas pertahanan Belanda, John Heitinga, telah dilantik sebagai jurulatih baharu di Ajax, kelab Belanda itu mengumumkan kelmarin.

    Heitinga, 41, kembali ke kelab di mana dia memulakan kariernya sebagai pemain, menggantikan Francesco Farioli yang meletak jawatan minggu lalu selepas gagal mempertahankan kejuaraan.

    Dia menandatangani kontrak selama dua tahun dan akan dibantu oleh Marcel Kaizer, yang pernah mengendalikan Ajax pada 2017.

    Heitinga menghabiskan musim lalu bekerja di bawah Arne Slot di Liverpool. Dia juga pernah menjadi jurulatih kepada David Moyes di West Ham.

    “Saya sangat teruja untuk memulakannya. Tahun-tahun terakhir di England telah memberikan banyak kebaikan kepada saya,” kata Heitinga dalam satu kenyataan kelab.

    “Saya dapat meningkat lebih jauh bersama David Moyes dan Arne Slot, sambil melihat di sebalik tabir dua buah kelab utama.

    “Saya bersedia untuk meneruskan cabaran sebagai ketua jurulatih dan saya berbesar hati diberi peluang itu di Ajax.”

    Ajax mengharungi penghujung musim yang mengecewakan selepas mendahului sembilan mata dengan baki lima perlawanan, membolehkan PSV Eindhoven merampas kejuaraan liga pada hari terakhir.

    Farioli membangkitkan semula nasib pasukan yang muncul di tempat kelima itu pada kempen 2023-24, tetapi dia memutuskan untuk pergi kerana ‘visi berbeza’ dengan lembaga kelab. – AFP

    Gambar fail bertarikh 23 Februari 2023 menunjukkan Heitinga (tengah) selepas perlawanan bola sepak di Berlin, Jerman. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda