WASHINGTON, 27 OKT – Dua pesawat milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) terhempas di Laut China Selatan dalam dua insiden berasingan kelmarin, menurut pegawai tentera, tanpa sebarang kematian dilaporkan.
Insiden pertama melibatkan sebuah helikopter MH-60R Sea Hawk yang “terhempas di perairan Laut China Selatan semasa menjalankan operasi rutin dari kapal induk USS Nimitz,” menurut kenyataan Tentera Laut AS dari Armada Pasifik.
Ketiga-tiga kru yang berada di dalam helikopter tersebut berjaya diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat, kata kenyataan itu.
Setengah jam kemudian, sebuah jet pejuang Boeing F/A-18F Super Hornet turut terhempas di Laut China Selatan ketika menjalankan ‘operasi rutin’ dari kapal induk yang sama, USS Nimitz.
Menurut Tentera Laut AS, kedua-dua juruterbang berjaya keluar menggunakan kerusi lenting dan berjaya diselamatkan.
“Semua anggota yang terlibat berada dalam keadaan selamat dan stabil,” kata Tentera Laut AS. “Punca kedua-dua insiden masih dalam siasatan.”
Kejadian ini berlaku ketika Presiden AS Donald Trump sedang berada di rantau Asia dalam lawatan pertamanya bagi penggal kedua pemerintahannya, manakala Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, turut dijadualkan memulakan lawatan ke beberapa negara Asia.
Awal tahun ini, dua pesawat tentera AS turut terjatuh dari kapal induk USS Harry S. Truman ketika beroperasi di Timur Tengah. – AFP


