BANGKOK, 25 MEI – Tiga orang maut apabila sebuah helikopter polis terhempas dan terbakar di selatan tengah Thailand kelmarin, menurut pegawai.
Pesawat Bell 212 milik Unit Penerbangan Polis Kanchanaburi jatuh berhampiran sebuah kampung di wilayah Prachuap Khiri Khan.
Dua juruterbang dan seorang mekanik di dalam helikopter itu maut, menurut kenyataan Polis Diraja Thai.
Pasukan penyelamat berkata kepada AFP, anggota bomba telah berjaya memadamkan kebakaran itu, tetapi punca nahas masih belum diketahui.
Menurut kenyataan, polis turut menyampaikan takziah dan berkata ketua polis Kitrat Panphet telah mengarahkan siasatan segera dan pampasan kepada keluarga berkenaan. – AFP
