MOSCOW, 26 MEI – Helikopter yang membawa Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan berada di tengah-tengah serangan dron oleh Ukraine semasa lawatannya ke Wilayah Kursk pada 20 Mei lalu, menurut laporan agensi berita TASS memetik kenyataan seorang komander pertahanan udara.
Komander Yuri Dashkin berkata, pesawat presiden sedang melalui kawasan itu ketika serangan mencapai tahap paling sengit.
“Helikopter Presiden Rusia berada hampir di pusat usaha menangkis serangan berskala besar oleh dron musuh,” katanya dalam satu temu bual yang disiarkan oleh saluran televisyen Rossiya-24.
Beliau menambah unit pertahanan udara sedang melaksanakan langkah-langkah tindak balas aktif untuk memintas serangan dron sambil memastikan keselamatan penerbangan presiden.
Lawatan Putin ke wilayah berkenaan turut merangkumi pertemuan bersama sukarelawan, pemimpin pihak berkuasa tempatan serta Pemangku Gabenor Alexander Khinshtein. – Bernama


