Helikopter sewa khas bawa guru kembali ke sekolah

NABAWAN, 8 MEI – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup hari ini menyediakan dua helikopter sewa khas untuk menghantar guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Talaan dan sekitar mukim Talaan di sini untuk kembali ke sekolah masing-masing.

Arthur berkata helikopter itu disediakan pihaknya bagi memudahkan lapan guru balik ke kawasan tersebut bagi memulakan sesi persekolahan esok tanpa melalui jalan darat dan sungai yang terputus akibat bencana banjir luar biasa yang melanda kawasan tersebut baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata perjalanan ke kawasan itu biasanya mengambil masa tiga hingga enam jam bergantung kepada keadaan cuaca.

“Namun begitu, banjir yang luar biasa baru-baru ini telah menyebabkan kerosakan infrastruktur seperti jalan penghubung serta jambatan kereta dan mengakibatkan para guru terpaksa berjalan kaki hingga 18 jam untuk sampai ke kawasan tersebut.

“Saya juga telah arahkan juruterbang helikopter untuk tidak balik dengan helikopter kosong. Saya minta bawa beberapa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan di Keningau. Setelah pesakit sampai di Keningau pegawai saya menunggu untuk bawa ke Hospital Keningau,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Bernama

Datuk Arthur Joseph Kurup (enam, kiri) bersama kakitangan serta guru-guru yang dihantar kembali bertugas ke SK Pengaraan dan sekitar Mukim Tatalaan Pensiangan dengan menaiki helikopter berikutan banjir dan infrastruktur rosak di kawasan berkenaan. – Bernama