PHNOM PENH, 14 JULAI – Sebuah helikopter tentera Kemboja dilaporkan hilang selepas mengalami ‘kemalangan’ dalam cuaca buruk di barat daya negara itu, menurut Kementerian Pertahanan Kemboja, kelmarin.
Kementerian Pertahanan Kemboja berkata dalam satu kenyataan di Facebook bahawa helikopter tersebut hilang di kawasan pergunungan Cardamom yang diselubungi hutan hujan lebat.
“Helikopter tersebut telah hilang hubungan dengan ibu pejabat tentera udara semasa latihan,” kata kenyataan itu.
“Insiden ini berlaku disebabkan cuaca buruk,” tambahnya.
Bagaimanapun, kementerian Kemboja tidak menyatakan bila helikopter itu hilang, modelnya, atau berapa ramai yang berada di dalamnya.
Namun, sumber tentera udara memberitahu AFP bahawa helikopter buatan China, model Z-9, dengan sekurang-kurangnya dua orang di dalamnya hilang pada Jumaat semasa latihan.
Kementerian Pertahanan Kemboja berkata pasukan penyelamat mula mencari helikopter yang hilang itu pada pagi kelmairn, namun masih belum ditemui.
Kemboja membeli 12 helikopter Z-9 dari China pada 2013 untuk meningkatkan kapasiti ketenteraannya. – AFP