COLOMBO, 9 MEI – Sebuah helikopter tentera udara Sri Lanka terhempas hari ini, mengorbankan enam daripada 12 penumpang pesawat, menurut kenyataan tentera.
Anggota tersebut sedang mengambil bahagian dalam penerbangan demonstrasi dan bersiap sedia untuk terjun menggunakan tali apabila pesawat Bell 212 terhempas ke dalam sebuah tasik di Maduru Oya, timur ibu kota Colombo, menurut seorang pegawai tentera kepada AFP.
Mereka sepatutnya melakukan latihan ‘fast-roping’ semasa upacara tamat latihan komando Pasukan Khas, bagi mempamerkan kemahiran menuruni tali dari helikopter ketika ia berlegar pada ketinggian bumbung.
“Terdapat 12 orang di dalam pesawat, dan enam daripada mereka terselamat dengan kecederaan ringan,” kata pegawai itu, sambil menambah bahawa mereka yang terkorban termasuk empat komando dan dua penembak udara Tentera Udara.
Upacara tersebut telah dibatalkan, menurut pegawai itu lagi, sambil menambah bahawa siasatan mengenai punca kejadian sedang dijalankan.
Tragedi yang berlaku hari ini merupakan yang paling buruk bagi tentera udara sejak sebuah pesawat buatan China, Y-12, terhempas di Haputale, 200 kilometer (125 batu) di timur Colombo pada Januari 2020, mengorbankan kesemua empat anak kapal.
Pada September 2000, sebuah helikopter Mi-17 terhempas di tengah Sri Lanka, mengorbankan kesemua 15 orang di dalamnya, menjadikannya nahas helikopter paling buruk dalam sejarah pulau itu.- AFP
