Monday, December 16, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Helikopter tentera terhempas, seorang terkorban, 10 cedera

    BISHKEK, 17 JAN – Kyrgyzstan berkata hari ini seorang dilaporkan maut dan 10 lagi cedera dalam nahas helikopter tentera semasa penerbangan latihan di pangkalan udara di ibu negara Asia Tengah, Bishkek.

    “Pada jam 10:55 waktu tempatan, sebuah helikopter Mi-8 tentera terhempas di pangkalan udara Frunze-1,” kata agensi penerbangan negara itu dalam satu kenyataan.

    Empat daripada mereka yang cedera dibawa ke rawatan rapi, dengan dua dalam keadaan kritikal, kata Kementerian Pertahanan.

    Rakaman udara lokasi nahas menunjukkan rangka helikopter yang hancur, yang dicat dalam warna perang, terbalik di ladang bersalji.

    Kementerian Pertahanan kemudian berkata ia menggantung sejumlah pegawai berikutan insiden itu.

    “Beberapa pegawai dalam pasukan pertahanan udara tentera Kyrgyzstan telah dilucutkan sementara daripada jawatan mereka bagi menjalankan siasatan secara objektif,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

    Mi-8 ialah helikopter tentera buatan Soviet.

    Kyrgyzstan, sebuah negara bekas Soviet yang terletak di Asia Tengah, adalah sekutu keselamatan Rusia dan kerap mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan Moscow. – AFP

    Pegawai penguatkuasa undang-undang memeriksa helikopter Mi-8 yang terhempas di pinggir Bishkek. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda