Gambar AFP
OM ESHR, SUDAN – Seperti generasi orang Sudan sebelumnya, Wissal Abdel Ghany bercangkung dekat api untuk menyediakan minuman tradisional, yang sangat digemari semasa bulan puasa Ramadan.
Di Sudan, minuman ‘helo-murr’, yang bermaksud ‘pahit manis’, adalah minuman yang sangat sinonim pada bulan puasa.
Ia boleh didapati di hampir setiap rumah di seluruh negara timur laut Afrika semasa ingin berbuka puasa.
“Tanpa minuman tersebut, meja terasa seperti tidak lengkap,” kata Abdel Ghany, yang mengenakan tudung berwarna jingga.
Dia duduk di ruang kecil di perkampungan Om Eshr, yang terletak di pinggir ibu kota Khartoum, yang dipenuhi dengan sekelompok kecil wanita yang sibuk mengupas dan mencampurkan bahan sebelum menyajikan minuman tersebut ke dalam gelas.


“Sudah menjadi tradisi selama beberapa dekad, minuman itu menghilangkan dahaga orang yang berpuasa dan resipinya ‘diwarisi daripada ibu dan nenek kami,” kata wanita berusia 43 tahun itu.
Jagung dituai dan dikeringkan di bawah sinar matahari sebelum digiling dan dicampur dengan rempah seperti halba, jintan atau bunga roselle – minuman Ramadan penting lain di Sudan.
Campuran tersebut kemudiannya direndam dalam gula dan air selama beberapa hari.
Abdel Ghany menyapukan satu lapisan pasta coklat pekat ke atas plat penggorengan di atas bara api kayu, memasaknya hingga menjadi kepingan tipis berwarna kulit.
Selepas itu, kepingan seperti kuih kapit yang terhasil dikopek dan disimpan – sedia untuk direndam dalam langkah terakhir untuk menghasilkan minuman yang menjadi kegemaran.
Dihidangkan sesejuk mungkin, minuman itu adalah salah satu cara orang Sudan yang berpuasa menyejukkan badan, satu cabaran besar di salah sebuah negara paling panas di dunia.
Usaha bersama
Berpuasa pada siang hari pada bulan Ramadan adalah salah satu daripada lima Rukun Islam.
Umat Islam menahan diri daripada makan dan minum dari waktu subuh hingga terbenam matahari, sesudah itu mereka kebiasaannya akan berkumpul bersama keluarga dan sahabat untuk berbuka puasa.
Di Sudan, minuman itu sangat sinonim dengan bulan Ramadan sehingga kedutaan Amerika Syarikat turut menyarankan kakitangan mereka untuk membuatnya melalui Twitter, dengan para diplomat menggunakan sudu kayu di atas bara api dan menghirup minuman warna keemasan itu.
Abdel Ghany berkata penyediaan minuman itu memerlukan usaha bersama, sekali gus mengeratkan silaturahim.
“Kami menyediakannya bersama dan dikongsikan bersama,” katanya.
Abdel Ghany menambah, di bandar Sudan, segelintir orang tidak menyediakannya.
“Namun mereka masih menyediakannya untuk makan malam, jadi mereka membeli helo-murr yang sudah siap,” katanya.
Baginya, penyediaan helo-murr dan bulan Ramadan tidak dapat dipisahkan.
“Cukup dengan mencium bau wangi yang muncul dari rumah untuk tahu Ramadan sudah tiba,” tambahnya.- AFP

