Henderson dinobat pemain FWA

LONDON, 24 JULAI – Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson dinobatkan sebagai pemain Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) tahun ini semalam setelah berjaya memimpin The Reds menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka dalam 30 tahun.

Pemain berusia 30 tahun itu mengatasi Kevin De Bruyne dari Manchester City, penyerang Manchester United, Marcus Rashford dan rakan sepasukannya, Virgil Van Dijk dan Sadio Mane.

Henderson telah membuat 30 penampilan di EPL musim ini ketika Liverpool menjulang trofi EPL dengan mendahului 18 mata di puncak liga, kepimpinan Henderson menjadi sebagai contoh di luar padang ketika kejohanan bola sepak disekat selama tiga bulan akibat COVID-19.

Dia menerajui kempen PlayersTogether semasa sekatan COVID-19 yang menyaksikan pemain bekerjasama mengumpul dana untuk Perkhidmatan Kesihatan Nasional Britain.

“Saya menerimanya bagi pihak seluruh skuad ini, kerana tanpa mereka saya tidak dapat menerima penghormatan ini.

“Pemain-pemain ini telah menjadikan saya pemain yang lebih baik, pemimpin yang lebih baik dan orang yang lebih baik,” kata Henderson.

“Sekiranya ada, saya harap mereka yang memilih saya untuk memenanginya melihat sumbangan daripada seluruh pasukan.” Selain lima pemain teratas, 10 pemain lain mendapat undian daripada ahli FWA.

Trent Alexander-Arnold, Alisson Becker, Raheem Sterling, Aaron Wan-Bissaka, Sergio Aguero, Adama Traore, Danny Ings, Jack Grealish, James Maddison dan Jonny Evans semuanya dicalonkan sebagai pemain Persatuan Penulis Bola Sepak pada tahun ini. – AFP

Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson ketika mencium trofi Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield di Liverpool, England, pada 22 Julai. Henderson dinobatkan sebagai pemain Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) tahun ini. – AP