Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Henderson sertai Brentford secara percuma

    LONDON, 16 JULAI – Pemain tengah England, Jordan Henderson, telah menyertai kelab Brentford secara perpindahan percuma kelmarin, selepas meninggalkan kelab Belanda, Ajax.

    Henderson, 35, menandatangani kontrak dua tahun bersama The Bees, sekali gus kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris selepas meninggalkan Liverpool pada tahun 2023.

    Pengurus baharu Brentford, Keith Andrews, merekrut Henderson selepas kehilangan pemain tengah Denmark, Christian Norgaard, yang berpindah ke Arsenal.

    “Apabila kami mengetahui tentang ketersediaan Jordan, ia adalah keputusan yang agak mudah,” kata Andrews.

    “Kami melakukan penilaian ter-hadap prestasinya dalam perlawanan-perlawanan terkini dan mendapati dia masih berada dalam keadaan fizikal yang luar biasa dan sangat bermotivasi untuk terus mencapai kejayaan, walaupun dia telah banyak mencapainya sebelum ini.

    “Dengan pemergian beberapa pemain berpengalaman seperti Christian Norgaard, Mark Flekken dan Ben Mee, adalah penting untuk kami menggantikan kekosongan itu.

    “Jordan merupakan salah seorang pemimpin paling berpengaruh dalam era moden Liga Perdana. Dia pernah berada di barisan hadapan dalam mengejar kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara bersama sebuah kelab yang hebat.

    “Beliau juga memiliki pengalaman di peringkat antarabangsa bersama England, dan itu membawa satu tahap profesionalisme serta dedikasi terhadap profesionnya itulah budaya yang kami mahu terapkan di kelab ini.”

    Henderson memiliki 84 penampilan bersama skuad kebangsaan England dan baru-baru ini dipanggil semula oleh pengurus The Three Lions, Thomas Tuchel. – AFP

    Aksi Jordan Henderson ketika perlawanan Eredivisie Belanda antara Ajax menentang FC Twente di Johan Cruijff Arena pada 18 Mei di Amsterdam, Belanda. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda